Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

PM Anwar mulakan lawatan ke benua Afrika di Ethiopia

Hafiz Marzukhi 18/11/2025 | 13:45 MYT
Ketibaan Anwar di lapangan terbang disambut Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan Ethiopia. - Gambar Bernama
ETHIOPIA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Addis Ababa hari ini untuk lawatan rasmi bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Ethiopia


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Addis Ababa untuk lawatan rasmi guna mengukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Ethiopia.
  • Lawatan pertama Anwar ke Ethiopia dalam ulang tahun ke-60 hubungan kedua negara sejak tahun 1965; disambut oleh Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali.
  • Dalam lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie serta Dr Abiy untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan meningkatkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Ethiopia.


Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole pada 4.10 petang waktu tempatan (9.10 malam waktu Malaysia).

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Ethiopia sejajar dengan ulang tahun ke-60 yang terjalin antara kedua-dua negara sejak tahun 1965.

Ketibaan Anwar di lapangan terbang disambut Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan Ethiopia.

Lawatan ini bakal menyaksikan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Ethiopia Taye Atske Selassie serta Dr Abiy untuk mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Ethiopia, di samping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Turut menyertai delegasi Perdana Menteri bagi lawatan rasmi ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, delegasi perniagaan dan juga pegawai kanan kerajaan.

Ethiopia adalah rakan dagangan Malaysia yang ke-26 terbesar di benua Afrika pada tahun 2023.

Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia berjumlah RM358.6 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selepas menamatkan lawatan rasminya di Ethiopia selama tiga hari, Anwar akan meneruskan lawatan kerja ke Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg.



#lawatan rasmi #delegasi perniagaan #kerjasama dua hala #pegawai kanan