MALAYSIA

PM Anwar tiba di Jakarta untuk rundingan tahunan bersama Prabowo

Faida Rahim 28/07/2025 | 14:30 MYT
Anwar (kanan) mengadakan pertemuan rasmi dengan Prabowo Subianto (kiri) sempena Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia di Istana Merdeka, Jakarta. -Gambar Bernama
JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sempena Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia yang berlangsung di Istana Merdeka, di sini, pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto sempena Rundingan Tahunan Ke-13 Malaysia-Indonesia di Istana Merdeka, Jakarta.
  • Pertemuan membincangkan pelbagai aspek hubungan strategik dan kerjasama serantau, dengan kehadiran delegasi tinggi dari kedua-dua negara.
  • Konsultasi ini menandakan komitmen berterusan Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan meneroka kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global.


Ketibaan Anwar di Istana Merdeka pada pukul 10.10 pagi waktu tempatan disambut dengan istiadat perbarisan kehormatan oleh pasukan tentera Indonesia.

Beliau turut disambut secara peribadi oleh Presiden Prabowo di pintu utama istana, sebelum kedua-dua pemimpin negara itu bersalaman dan melangkah masuk ke dalam bangunan bersejarah tersebut.

Sesi pertemuan dimulakan dengan acara memperkenalkan delegasi rasmi dari kedua-dua negara yang mana Delegasi Indonesia terdiri daripada Menteri Luar Negeri Sugiono, Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi, Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Airlangga Hartarto, Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian, Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya, Ketua Badan Intelijen Negara Herindra dan Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

Kedua-dua pemimpin kemudian bergambar bersama di ruang kredensial sebelum memulakan sesi perbincangan dua hala yang menyentuh pelbagai aspek hubungan strategik dan kerjasama serantau.

Anwar tiba di Jakarta pada malam Isnin dan telah menghadiri majlis makan malam bersama Presiden Prabowo di kediaman peribadi beliau di Jalan Kebayoran, Jakarta Selatan.

Momen tersebut turut dikongsi melalui akaun media sosial rasmi Presiden Republik Indonesia, memperlihatkan keakraban hubungan kedua-dua pemimpin.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra), Konsultasi Tahunan ini merupakan mekanisme bilateral tertinggi antara Malaysia dan Indonesia, bertujuan memperkukuh hubungan strategik dan meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global.

“Konsultasi kali ini merupakan peluang penting untuk meningkatkan hubungan strategik serta meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran di peringkat serantau dan global,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Lawatan rasmi ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama menyeluruh demi kepentingan bersama.






#ASEAN #Anwar Ibrahim #Prabowo Subianto #lawatan rasmi