INTERNATIONAL
PM Australia dijangka umum pilihan raya persekutuan pada 3 Mei: Media
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya persekutuan pada 3 Mei. - Gambar fail/REUTERS
CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya persekutuan pada 3 Mei, lapor Perbadanan Penyiaran Australia pada Khamis, menurut Xinhua.
Menurut laporan itu, perdana menteri akan mengunjungi Gabenor Jeneral Sam Mostyn di ibu negara Australia, Canberra, bagi menasihati beliau mengenai pembubaran Parlimen dan pengumuman pilihan raya persekutuan pada 3 Mei. Ini akan mencetuskan "kempen lima minggu untuk meyakinkan pengundi sama ada Parti Buruh di bawah pimpinan Anthony Albanese atau Parti Gabungan diketuai Peter Dutton lebih layak untuk menerajui negara".
Laporan itu juga menyatakan bahawa isu kos sara hidup dijangka menjadi tumpuan kempen, dan kedua-dua parti perlu berkempen secara agresif untuk memastikan mereka memperoleh kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan, dengan sekurang-kurangnya 76 kerusi diperlukan bagi memperoleh majoriti mutlak.
Dengan hanya tiga kerusi diperlukan untuk menyebabkan Parti Buruh kehilangan majoriti dan 19 kerusi untuk membolehkan Parti Gabungan membentuk kerajaan sendiri, penganalisis tinjauan pendapat menjangkakan Parlimen tergantung sebagai keputusan paling berkemungkinan berdasarkan sokongan semasa.
Laporan itu turut menyebut bahawa beberapa tinjauan mendapati terdapat blok pengundi yang tidak komited yang lebih besar daripada kebiasaan, dan persaingan paling sengit dijangka berlaku di kawasan pinggir bandar Melbourne dan Sydney, yang dianggap antara kawasan paling berpotensi bertukar tangan serta menentukan keputusan pilihan raya.
-- BERNAMA