INTERNATIONAL
PM India dan pemimpin sementara Bangladesh adakan pertemuan di Bangkok

Ini merupakan pertemuan pertama mereka sejak Yunus (kiri) menjadi pemimpin sementara Bangladesh susulan penyingkiran Sheikh Hasina sebagai perdana menteri tahun lepas. - Reuters
NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi dan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Muhammad Yunus mengadakan pertemuan di Bangkok di luar sidang kemuncak serantau pada Jumaat.
Ini merupakan pertemuan pertama mereka sejak Yunus menjadi pemimpin sementara Bangladesh susulan penyingkiran Sheikh Hasina sebagai perdana menteri tahun lepas.
Hubungan antara kedua-dua negara menjadi tegang kerana beberapa isu.
Bangladesh kini sedang memohon ekstradisi Hasina dari India untuk menghadapi perbicaraan atas tuduhan rasuah dan pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan besar-besaran terhadap pemerintahannya selama 15 tahun.Pertemuan Modi dan Yunus berlangsung di luar Sidang Kemuncak Inisiatif Teluk Bengal bagi Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Pelbagai Sektor (BIMSTEC).
Modi turut mengadakan pertemuan dengan ketua junta Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Mereka membincangkan situasi pascagempa bumi dan hubungan dua hala.
Modi berkata India sedang melakukan "apa sahaja yang mungkin" untuk membantu Myanmar susulan bencana pada 28 Mac yang telah meragut ribuan nyawa.
"Kami juga membincangkan hubungan dua hala antara India dan Myanmar, khususnya dalam sektor seperti kesalinghubungan, pembinaan kapasiti, pembangunan infrastruktur dan lain-lain," katanya di platform X.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami