INTERNATIONAL
PM India singkatkan lawatan ke Arab Saudi susulan serangan pengganas ragut 26 nyawa di Kashmir
Narendra Modi mengadakan pertemuan dengan Putera Mohammed di Jeddah, Arab Saudi, 22 Apr 2025. - REUTERS
NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi memendekkan lawatannya ke Arab Saudi pada Selasa berikutan serangan pengganas di wilayah Jammu dan Kashmir.
Dua puluh enam orang terbunuh dalam serangan pada Selasa di padang rumput Baisaran di kawasan Pahalgam yang popular dalam kalangan pelancong.
Serangan oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali itu dikutuk secara meluas oleh pemimpin India dan asing.
Menteri Dalam Negeri India Amit Shah tiba di Srinagar, ibu negeri musim panas wilayah itu, pada petang Selasa untuk meninjau situasi keselamatan di Kashmir.
Dalam catatan di platform X, Modi menyatakan bahawa "mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan keji ini akan dibawa ke muka pengadilan."
"Agenda jahat mereka tidak akan berjaya. Tekad kita memerangi keganasan tidak akan goyah, malah akan bertambah kukuh," katanya.
Modi berada di bandar Jeddah, Arab Saudi pada Selasa untuk lawatan dua hari.
Beliau mengadakan perbincangan dua hala dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman sebelum berlepas pulang ke New Delhi pada malam Selasa.
Modi turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Majlis Perkongsian Strategik India-Arab Saudi bagi menilai hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.
Putera Mahkota Arab Saudi mengecam serangan berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa, menurut jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal.
Pemimpin pembangkang India turut menzahirkan rasa sedih dan mengecam serangan tersebut.
Pemimpin kanan Parti Kongres, Sonia Gandhi berkata beliau "amat sedih dan hancur" menerima berita serangan pengganas itu dan menyifatkannya sebagai "perbuatan pengecut."
"Seluruh negara bersatu menentang keganasan. Kita berkongsi tekad untuk menewaskan kuasa yang memecahbelahkan dan ganas ini. Kita perlu membina semula konsensus sosial menentang keganasan seperti yang pernah wujud sebelum ini," katanya.
Serangan itu berlaku serentak dengan lawatan empat hari Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance ke India.
Dalam catatan di X, Vance berkata, "Saya dan Usha merakamkan ucapan takziah kepada mangsa serangan pengganas yang dahsyat di Pahalgam, India.
"Dalam beberapa hari ini, kami terpesona dengan keindahan negara ini dan rakyatnya. Doa kami bersama mereka ketika negara ini meratapi serangan mengerikan ini," katanya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menghubungi Modi untuk menyampaikan ucapan takziah.
Trump menyatakan sokongan penuh kepada India "untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata Jaiswal.
Serangan tersebut mengejutkan rakyat Kashmir kerana ia dijangka menjejaskan musim pelancongan musim panas di kawasan yang indah itu.
"Saya amat terkejut. Serangan terhadap pelawat kita ini sangat keji...Tiada kata-kata yang cukup untuk mengecamnya," kata Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah di X.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai "jauh lebih besar daripada apa yang kita pernah saksikan ke atas orang awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini."
Jammu dan Kashmir mengadakan pilihan raya dewan negeri pertamanya dalam tempoh sedekad pada 2024 yang menyaksikan Parti Konferensi Kebangsaan Kashmir dan Parti Kongres membentuk kerajaan campuran yang diketuai oleh Omar.
Serangan itu menggugat ketenangan relatif wilayah tersebut dan dijangka menjadi cabaran baharu kepada kerajaan wilayah pilihan rakyat yang baharu berusia enam bulan untuk memulihkan ekonomi Kashmir.
"Secara tradisinya, Kashmir menyambut pelancong dengan mesra, menjadikan insiden terpencil ini amat membimbangkan. Siasatan menyeluruh perlu dilakukan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan dan menilai sebarang kelemahan aspek keselamatan," kata bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti.
Kashmir yang ditadbir India merupakan wilayah persekutuan di bawah kawalan langsung New Delhi, dengan pentadbiran tempatan mempunyai kuasa terhad.
Bekas negeri itu dibahagikan kepada dua wilayah persekutuan iaitu Jammu dan Kashmir serta Ladakh pada Ogos 2019 selepas India memansuhkan Perkara 370 Perlembagaan India yang sebelum ini memberikan wilayah majoriti Muslim itu autonomi separa.
-- BERNAMA