Perdana Menteri Itali Enrico Letta akan meletakkan jawatan pada Jumaat dalam krisis politik yang akan melihat pencabar beliau Matteo Renzi, 39 tahun, bakal memenangi pencalonan untuk menggantikannya.

Letta berkata pada hari Khamis bahawa beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Presiden Giorgio Napolitano berikutan mesyuarat kabinet terakhir beliau selepas kurang daripada setahun berkuasa dalam pakatan yang longgar.

Mesyuarat kabinet akan bermula pada 1030 GMT.

Semuanya bermula selepas berminggu Letta dan Renzi bersengketa. Renzi merupakan pemimpin yang bercita-cita tinggi yang baru sahaja dipilih untuk memimpin Parti Demokratik yang mahukan perubahan dalam kerajaan.

Menurut satu undian, persengketaan di antara Letta dan Renzi merupakan satu langkah yang tidak popular di kalangan rakyat Itali dan terdapat kebimbangan di pihak parti bahawa ia boleh mengukuhkan semula kuasa bekas Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

Penganalisa berkata imej Renzi tercemar sebagai ahli politik yang bertanggungjawab dengan penggulingan Letta meskipun perjanjian sebelum ini membenarkan beliau menjadi pemimpin sehingga 2015.
.
Tetapi mereka juga berkata Renzi boleh meraih sokongan jika dia melakukan beberapa reformasi penting, terutama sekali kepada pasaran kewangan.

Mario Calabresi, pengarang akhbar harian La Stampa, berkata rakyat Itali "seperti tidak percaya" dengan krisis secara tiba-tiba namun kebanyakan orang menjangka pilihan raya akan diadakan lebih awal.

Pakar politik akhbar berkenaan Giovanni Orsina berkata Renzi boleh menjadi pemimpin "yang boleh menjadi jalan penyelesaian" kerana beliau "dianggap sebagai satu-satunya orang yang mampu mengeluarkan Itali daripada permasalahan itu".

Satu lagi kriteria yang memihak Renzi adalah sokongan kukuh dari Parti Demokrat. Pada mesyuarat pada hari Khamis, ahli-ahli pimpinan parti itu melahirkan sokongan dan berdiri di belakang Renzi.

Tetapi Renzi masih menghadapi beberapa cabaran sebelum boleh mencapai matlamatnya untuk menjadi Perdana Menteri rantau Kesatuan Eropah dan Itali yang termuda.

Timbalan Perdana Menteri Angelino Alfano telah pun menyatakan tidak akan memberi sokongan beliau untuk Renzi.

Walaupun telah disingkir dari parlimen atas sabitan jenayah untuk penipuan cukai dan sebagai defendan dalam tiga kes mahkamah yang berbeza, Berlusconi juga dilihat mampu meraih sokongan.

Parti pembangkang Berlusconi iaitu Farza Italia telah berkata mereka akan mengetuai rundingan pakatan semasa sesi pencalonan untuk jawatan Perdana Menteri - salah satunya hampir pasti menjadi milik Renzi.

'Perubahan mendalam ' untuk Itali

Apa sahaja masalah, beberapa penganalisis berkata kerajaan Renzi boleh dibentuk secara rasmi seawal minggu depan dan nama-nama menteri baharu telah mula beredar.

Antara pilihan akhbar-akhbar Itali adalah penulis Alessandro Baricco sebagai menteri kebudayaan dan pengasas Eataly Oscar Farinetti sebagai menteri pertanian.

Renzi, yang juga Datuk Bandar Florenc, telah berkata beliau adalah satu-satunya cara untuk melaksankan yang diperlukan di Itali.

Beliau juga berkata, beliau mahu kerajaan baru untuk kekal sehingga pilihan raya yang dijadualkan pada 2018 - satu harapan ditolak oleh penganalisa politik kerana Parlimen yang berpecah-belah buat masa ini.

Renzi dikenali untuk slogan dan hashtag beliau yang begitu popular. Beliau disukai di kalangan rakyat Itali kerana dilihat sebagai orang luar di dalam arena politik nasional.

Renzi tidak pernah berkhidmat di dalam kerajaan dan parlimen namun mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran kerajaan tempatan dan dipuji untuk menurunkan cukai dan menggalakkan kitar semula.

Beliau sering dilihat memakai kaca mata hitam retro dan jaket kulit dan seluar jeans, sehingga mendapat gelaran "Fonzie" dari sitkom popular Amerika Syarikat "Happy Days".