DUNIA

PM Kemboja setuju cadangan gencatan senjata oleh Anwar

Bernama 25/07/2025 | 20:15 MYT
Anwar sebelum ini berkata beliau telah menghubungi kedua-dua perdana menteri pada Khamis bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang sedang berlaku. - Facebook Anwar
PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata bersama Thailand yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Manet berkata beliau bersetuju dengan gencatan senjata itu kerana Kemboja bukan pihak yang memulakan pertempuran.

"Kunci kepada penyelesaian konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja ketika ini ialah kesediaan tulen pihak Thailand untuk menerima gencatan senjata, yang merupakan langkah pertama ke arah mencari penyelesaian seterusnya antara kedua-dua negara," katanya.

Manet menjelaskan bahawa terdapat laporan yang tidak jelas daripada beberapa media antarabangsa mengenai rundingan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN semasa.

Beliau berkata persetujuannya terhadap gencatan senjata hanya dibuat selepas dimaklumkan oleh Anwar bahawa Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, bersetuju untuk mengadakan rundingan damai.

Bagaimanapun, beliau menyatakan rasa kesal apabila Thailand kemudiannya menukar pendirian.

"Namun amat dikesali bahawa hanya selepas lebih satu jam kemudian, pihak Thailand memaklumkan bahawa mereka menarik balik pendirian terdahulu berhubung persetujuan terhadap gencatan senjata," katanya.

Anwar sebelum ini berkata beliau telah menghubungi kedua-dua perdana menteri pada Khamis bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang sedang berlaku.

Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand memuncak selepas anggota tentera kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran pada pagi Khamis di kawasan Oddar Meanchey dan Preah Vihear.

Kedua-dua negara jiran itu telah lama bertelagah berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan, yang telah menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

-- BERNAMA

#Anwar Ibrahim #konflik sempadan #Kemboja #Thailand #gencatan senjata