DUNIA

PM Korea Selatan akan adakan mesyuarat berkaitan kebocoran data Lotte Card, KT

Bernama 21/09/2025 | 20:45 MYT
Mesyuarat itu dijadual berlangsung pada 10.30 pagi Isnin dan Kim Min-seok dijangka diberikan taklimat mengenai skala kerosakan. - Gambar Reuters
SEOUL: Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok akan mempengerusikan satu mesyuarat antara agensi minggu ini bagi membincangkan tindak balas kerajaan susulan insiden kebocoran data yang signifikan melibatkan syarikat Lotte Card Co. dan KT Corp., menurut pejabat beliau pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap.

Mesyuarat itu dijadual berlangsung pada 10.30 pagi Isnin dan Kim dijangka diberikan taklimat mengenai skala kerosakan serta meneliti sama ada langkah sewajarnya telah diambil oleh syarikat yang terjejas.

Dalam kejadian yang berlaku bulan lepas, dianggarkan 200 gigabait data peribadi melibatkan hampir tiga juta pelanggan Lotte Card iaitu penerbit kad kelima terbesar di Korea Selatan digodam dalam satu serangan siber.

Dalam kes berasingan, seramai 362 pelanggan syarikat telekomunikasi KT Corp, penyedia rangkaian mudah alih kedua terbesar di negara itu, turut menjadi mangsa kebocoran dalam sistem pembayaran mudah alih.

--BERNAMA-YONHAP



TAG: Korea Selatan, Kim Min-seok, Lotte Card Co, KT Corp, kebocoran data



#kebocoran data #lotte card #Korea Selatan #Kim Min-seok