DUNIA
PM Modi gesa tindakan paling tegas dalam kes rogol di Varanasi

Narendra Modi (tengah) mengarahkan tindakan paling tegas diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam kes rogol beramai-ramai di Varanasi. -Gambar fail/Reuters
VARANASI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah mengarahkan tindakan paling tegas diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam kes rogol beramai-ramai di Varanasi.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengarahkan tindakan paling tegas diambil terhadap semua individu yang terlibat dalam kes rogol beramai-ramai di Varanasi.
- Kes melibatkan seorang gadis berusia 19 tahun yang mendakwa telah dirogol oleh 23 lelaki selama tujuh hari berturut-turut, dengan sembilan suspek telah ditahan.
- Kes ini disiasat di bawah seksyen Kanun Jenayah Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) yang merangkumi rogol berkumpulan, penghinaan kehormatan, dan pengurungan salah.
"Keselamatan wanita adalah keutamaan negara kita, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan jenayah seperti ini," kata Modi.
Pandangan sama turut disuarakan Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah.
"Kerajaan komited untuk memperkukuh undang-undang bagi melindungi wanita dan memastikan keselamatan mereka," kata Amit Shah.
Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, dalam pada itu, berjanji akan memastikan pelaku dihukum dengan hukuman yang paling berat untuk memberikan mesej yang jelas kepada masyarakat.
Kejadian menggemparkan pada hujung bulan lalu itu melibatkan seorang gadis berusia 19 tahun yang mendakwa telah dirogol 23 lelaki selama tujuh hari berturut-turut.
Mangsa dilaporkan hilang dari rumahnya pada 29 Mac lalu sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 4 April.
Menurut laporan, mangsa telah diberi dadah dan dipaksa untuk melakukan pelbagai tindakan keji di beberapa lokasi termasuk hotel, gudang, dan kafe.
Polis telah menahan sembilan suspek, sementara usaha memburu baki suspek masih giat dijalankan.
Kesemua suspek disiasat di bawah seksyen Kanun Jenayah Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) yang merangkumi rogol berkumpulan, penghinaan kehormatan, dan pengurungan salah.
Sementara itu, Ketua Polis Varanasi, Anil Kumar, berkata pihaknya telah mengerahkan semua sumber untuk menangkap baki suspek.
"Tiada siapa yang akan terlepas daripada keadilan," kata Anil Kumar.
Kes ini telah mencetuskan kemarahan di seluruh negara, dengan pelbagai pihak menyeru agar hukuman berat dikenakan terhadap pelaku.
Ia juga menimbulkan perbincangan mengenai keperluan untuk memperkukuh undang-undang dan perlindungan terhadap jenayah seksual di India.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami