New Zealand mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mendakwa negara itu kini dalam fasa lonjakan semula jangkitan COVID-19.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern menegaskan, kenyataan oleh Trump itu salah sama sekali.

"Amat jelas ketika ini, perbezaan antara kluster baharu di New Zealand dan puluhan ribu kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Amerika Syarikat.

"Pastinya ketika ini, setiap negara berdepan peperangan masing-masing bagi penularan wabak ini. Wabak ini sangat bahaya, tetapi keadaan adalah berbeza sama sekali antara New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Trump mengeluarkan kenyataan tersebut ketika berkempen di Mankato, Minnesota pada Isnin.

Katanya, negara yang dianggap sebagai model bagi pencegahan penularan wabak itu kini dalam keadaan bahaya.

Untuk rekod, setakat ini, New Zealand mencatatkan 22 kematian akibat COVID-19 manakala Amerika Syarikat pula merekodkan lebih 170,000 kematian secara keseluruhan.