DUNIA

PM New Zealand umum pilihan raya 7 November

Astro Awani 21/01/2026 | 05:50 MYT
Luxon (foto) berkata rakyat perlu menilai siapa yang mampu menyediakan pentadbiran stabil dengan perbelanjaan berhemah, cukai lebih rendah dan peluang ekonomi lebih luas untuk keluarga. -Gambar fail/Bernama
WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon hari ini mengumumkan tarikh pilihan raya umum negara itu ditetapkan pada 7 November, sekali gus memulakan kempen beliau untuk penggal kedua dengan menekankan mesej kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, umumkan tarikh pilihan raya umum pada 7 November, menekankan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi sebagai fokus utama kempen beliau untuk penggal kedua.
  • Populariti Luxon dilaporkan merosot susulan kelembapan ekonomi dan kritikan terhadap keputusan kerajaan, memunculkan saingan sengit dengan Parti Buruh dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung tanpa sokongan majoriti jelas.
  • Dengan fokus kepada pemulihan ekonomi yang masih perlahan, rakyat New Zealand dijangka membuat keputusan pilihan raya berdasarkan keyakinan terhadap prospek pemulihan ekonomi negara dalam tahun ini.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Luxon, yang mengetuai kerajaan konservatif gabungan Parti Nasional, New Zealand First dan ACT sejak kemenangan mereka pada 2023, berkata rakyat perlu menilai siapa yang mampu menyediakan pentadbiran stabil dengan perbelanjaan berhemah, cukai lebih rendah dan peluang ekonomi lebih luas untuk keluarga.

Namun, populariti beliau dilaporkan menurun sepanjang tahun lalu susulan kelembapan ekonomi dan kadar pengangguran yang meningkat melebihi 5 peratus.

Beliau turut menerima kritikan atas beberapa keputusan kerajaan, termasuk penutupan agensi kesihatan khusus masyarakat Māori serta ketiadaan peruntukan baharu bagi petugas barisan hadapan.

Penganalisis politik menjangkakan saingan sengit antara gabungan pemerintah dan Parti Buruh (Labour), dipimpin bekas Perdana Menteri Chris Hipkins.

Tinjauan semasa menunjukkan tiada parti atau gabungan memiliki sokongan majoriti jelas, selaras dengan sistem pilihan raya campuran berkadar (MMP) yang diamalkan sejak 1996 dan lazim menghasilkan kerajaan campuran.

Dalam ucapannya, Luxon menegaskan pemulihan ekonomi negara sedang berjalan, didorong oleh pelan pembaharuan kerajaan bagi “memperbaiki asas” serta mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Beliau turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan New Zealand First dan ACT selepas pilihan raya, sambil menyasarkan mandat lebih kukuh untuk Parti Nasional.

Ekonomi New Zealand kini berdepan pertumbuhan perlahan, harga rumah yang masih jauh daripada paras kemuncak 2021, serta peningkatan beban cukai kerajaan tempatan.

Dengan isu ekonomi kekal sebagai fokus utama pengundi, keputusan pilihan raya dijangka bergantung kepada tahap keyakinan rakyat terhadap prospek pemulihan tahun ini.

Sementara itu, undang-undang pilihan raya yang diluluskan pada tahun lalu melarang pendaftaran pengundi pada hari mengundi dan mengehadkan hak mengundi banduan yang masih dipenjarakan.

Langkah itu dikritik sesetengah pihak kerana dikhuatiri menurunkan kadar penyertaan pengundi, khususnya dalam kumpulan penyokong parti berhaluan kiri.

Dengan landskap politik yang semakin tegang dan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya, kempen menuju pilihan raya 7 November dijangka menjadi antara yang paling mencabar dalam sejarah politik moden New Zealand.





Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tarikh pilihan raya umum New Zealand yang baru diumumkan?
    A: Tarikh pilihan raya umum New Zealand ditetapkan pada 7 November.
  • Q: Mengapakah populariti Perdana Menteri Christopher Luxon dilaporkan menurun?
    A: Populariti Luxon dilaporkan menurun susulan kelembapan ekonomi dan kadar pengangguran yang meningkat melebihi 5 peratus.
  • Q: Apakah tindakan undang-undang pilihan raya terbaru yang diluluskan pada tahun lalu?
    A: Undang-undang pilihan raya yang diluluskan pada tahun lalu melarang pendaftaran pengundi pada hari mengundi dan mengehadkan hak mengundi banduan yang masih dipenjarakan.



#Christopher Luxon #New Zealand #Chris Hipkins #pilihan raya umum #7 November