[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
INTERNATIONAL

PM Palestin desak gencatan senjata segera, akses bantuan kemanusiaan ke Gaza

Bernama 11/04/2025 | 13:49 MYT
Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa pada Jumaat menyeru gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan orang awam. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa pada Jumaat menyeru gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan orang awam, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Menteri Arab-Islam mengenai Gaza yang diadakan di luar Forum Diplomasi Antalya di Turkiye, Mustafa menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan serangan.
"Perlu ada gencatan senjata segera di Gaza dan penghantaran bantuan kemanusiaan perlu dipastikan," katanya.
"Kami sedang merangka butiran pelan pemulihan Gaza dan usaha ini amat penting untuk memastikan kestabilan jangka panjang di rantau itu," tambah beliau.
Forum Diplomasi Antalya menghimpunkan pemimpin, diplomat dan pembuat dasar dari seluruh dunia dan dijangka berakhir Ahad ini.
Tentera Israel melancarkan semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac lepas, sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada 19 Jan.
Sepanjang pendudukan ke atas Palestin, Israel berulang kali menggunakan makanan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa sebagai alat tekanan kolektif terhadap rakyat Palestin. Israel menghentikan penghantaran bantuan ke Gaza pada 2 Mac, beberapa jam selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama 42 hari berakhir.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Palestin #Mohammad Mustafa #gencatan senjata #Gaza