[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

PM Sepanyol gesa Israel tidak ancam flotila menuju Gaza

Bernama 01/10/2025 | 15:57 MYT
Pedro Sanchez menyuarakan kebimbangan semakin meningkat mengenai keselamatan flotila berkenaan yang kini menghampiri Gaza. - Reuters
GENEVA: Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Rabu menggesa Israel supaya tidak mengancam Sumud Flotilla yang menuju ke Gaza, sambil menegaskan misi itu bersifat kemanusiaan dan semua yang berada di atas kapal akan menerima "perlindungan diplomatik sepenuhnya", lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap sebelum Mesyuarat Tidak Formal Ketua-Ketua Negara atau Kerajaan EU di Copenhagen, Sanchez menyuarakan kebimbangan semakin meningkat mengenai keselamatan flotila berkenaan yang kini menghampiri Gaza dan berdepan risiko besar dipintas pasukan Israel.

"Kita mesti ingat bahawa ini adalah misi kemanusiaan yang tidak akan berlaku jika kerajaan Israel membenarkan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin) masuk dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengagihkan bantuan kemanusia an ini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, Sepanyol telah menghantar kapal tentera laut untuk membantu sekiranya berlaku kecemasan dan sedang menyelaras rapat dengan negara lain yang terlibat dalam misi itu.

"Saya sentiasa menyampaikan sejak dari awal kepada kerajaan Israel bahawa secara logiknya, rakyat kami yang berada dalam flotila itu akan mendapat perlindungan diplomatik sepenuhnya, seperti mana sepatutnya," katanya.

"Mereka bukan ancaman kepada Israel dan oleh itu saya berharap Israel - dalam hal ini kerajaan (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu - tidak mengancam atau bertindak mengganggu flotila ini," tambahnya.

-- BERNAMA

#Global Sumud Flotilla #bantuan kemanusiaan #Pedro Sanchez #Gaza #Sumud Flotilla Tracker #Palestin