BELGRADE: Perdana Menteri Slovenia dan pemimpin Gerakan Kebebasan (GS) yang memerintah, Robert Golob, mengisytiharkan kemenangan partinya dalam pilihan raya parlimen, namun berkata rundingan untuk membentuk kerajaan baharu dijangka sukar, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut suruhanjaya pilihan raya, GS mendahului dalam pilihan raya bagi Perhimpunan Kebangsaan Slovenia dengan 28.62 peratus undi, manakala Parti Demokratik Slovenia (SDS) di tempat kedua dengan 27.95 peratus, selepas 99.85 peratus undi dikira. Keputusan itu memberikan GS 29 daripada 80 kerusi, manakala SDS memperoleh 28 kerusi.
Advertisement
“Rundingan pembentukan kerajaan akan mencabar ... hanya satu perkara yang tidak akan dirunding oleh GS, iaitu kedaulatan Slovenia. Kami tidak akan membenarkan pihak asing memerintah,” kata Golob seperti dipetik Agensi Berita Slovenia (STA) lewat Ahad.
Perdana menteri Slovenia itu menyifatkan malam pilihan raya sebagai tegang dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas kemenangan itu, sambil berkata mereka telah “memberi undi kepada demokrasi”.
Pemimpin parti pembangkang terbesar SDS, Janez Jansa, berkata disebabkan jurang kecil dalam keputusan awal, kerajaan akan datang mungkin tidak mampu memastikan pentadbiran yang stabil.
“Undi dari semua pusat pengundian akan dikira. Tanpa mengira keputusan, kita akan melihat keseimbangan kuasa politik dan mungkin sebuah kerajaan yang, berdasarkan apa yang kita lihat sekarang, tidak akan menjamin banyak kestabilan,” katanya seperti dipetik STA.
Menurut keputusan awal, lima lagi parti telah melepasi ambang 4 peratus.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI