PM Thailand arah agensi percepat bantuan banjir, bayaran ganti rugi

Hujan lebat di selatan Thailand menyebabkan kerosakan besar di Daerah Hat Yai di Songkhla, serta di Phatthalung, Pattani dan Nakhon Si Thammarat. - Gambar Reuters
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan semua agensi untuk segera menyelaras usaha membantu mangsa banjir di seluruh negara dan memastikan bayaran ganti rugi disalurkan tanpa sebarang kelewatan.
Jurucakap kerajaan, Siripong Angkasakulkiat berkata, Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, melawat Hat Yai hujung minggu lepas dan mengarahkan semua agensi menggerakkan bantuan maksimum, termasuk bekalan keperluan asas dan peralatan.
"Agensi turut diarahkan untuk mengatur gerak jentera bantuan bencana seperti bot, trak GMC dan kenderaan tinggi, serta menyediakan pam air dari semua wilayah bagi menyokong operasi. Perdana Menteri menegaskan yang keselamatan awam mesti menjadi keutamaan," kata Siripong dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Anutin mempengerusikan mesyuarat Pusat Arahan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Negara (NDPCC).
Siripong berkata, hujan lebat di Selatan menyebabkan kerosakan besar di Daerah Hat Yai di Wilayah Songkhla, sebuah hab ekonomi penting serta di Phatthalung, Pattani dan Nakhon Si Thammarat yang turut terjejas teruk.
Perdana Menteri turut mengarahkan pihak berkuasa mempercepat langkah pengurangan di wilayah tengah, terutamanya Phichit, Ang Thong, Chai Nat, Sing Buri dan Phra Nakhon Si Ayutthaya yang mengalami banjir berpanjangan.
"Gabenor wilayah mesti segera menilai kerosakan yang dialami semua isi rumah terjejas, termasuk kehilangan harta benda dan menyediakan data yang jelas dan tepat untuk bantuan.
"Biro Belanjawan ditugaskan menyediakan cadangan belanjawan pusat untuk pertimbangan segera Kabinet, dengan keutamaan memberi sokongan serta-merta kepada semua komuniti terjejas," katanya.
Siripong berkata, Perdana Menteri turut menggariskan beberapa arahan untuk memastikan bantuan diberikan secara cepat dan menyeluruh sehingga keadaan pulih.
Antara arahan itu, Kementerian Pengangkutan perlu memastikan agensi tempatan menyelenggara laluan pengangkutan, termasuk jalan raya dan landasan kereta api, serta menyediakan laluan alternatif di kawasan banjir, manakala Kementerian Kesihatan Awam perlu menggerakkan pasukan perubatan dan kesihatan awam untuk membantu mangsa banjir dan menyokong pemulihan pascabencana.
Semua agensi berkaitan juga mesti segera menilai kerosakan serta memulihkan infrastruktur terjejas.
Siripong berkata, agensi tempatan menggerakkan semua sumber yang ada bagi memasuki kawasan terjejas secepat mungkin, dengan keutamaan terhadap penyediaan makanan, air minuman dan kemudahan sanitasi yang mencukupi.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) Thailand, banjir di wilayah selatan menjejaskan 92 daerah, 581 daerah kecil dan 4,146 kampung, melibatkan 719,858 isi rumah (1,917,521 individu).
Di wilayah utara dan tengah, banjir di 11 wilayah menjejaskan 49 daerah, 441 daerah kecil dan 2,902 kampung, melibatkan 144,327 isi rumah (487,255 individu).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


