DUNIA
PM Thailand bimbang gelombang kedua COVID-19

Prayuth berkata, Thailand setakat ini berjaya memutuskan rantaian virus itu. - Gambar AP
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha meminta agar semua pihak tidak melakukan demonstrasi anti pemerintahan pada hujung minggu ini bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
Prayuth berkata, tindakan itu bagi mengelakkan berlakunya gelombang kedua jangkitan virus berkenaan seperti mana berlaku di negara lain.
Katanya, Thailand setakat ini berjaya memutuskan rantaian virus itu.
"Apabila anda berkumpul dalam kumpulan yang besar, ia boleh menimbulkan risiko jangkitan baru yang sangat besar.
"Sehubungan itu, jika anda menyertai demonstrasi itu, anda juga berkemungkinan akan merisikokan puluhan juta rakyat di negara ini," katanya seperti dipetik laporan AP.
Kementerian Kesihatan Thailand pada hari Khamis memaklumkan tiada kes baharu COVID-19 direkodkan menjadikan kes keseluruhan virus itu kekal 3,490 kes termasuk 58 kematian.
Dalam pada itu, Prayuth berkata, sebarang penularan baharu akan membawa kepada kemerosotan ekonomi yang lebih parah.
Prayuth bagaimanapun menghormati hak dan pendapat dalam isu politik namun, usaha memulihkan ekonomi negara menjadi keutamaannya.
Terdahulu, penganjur protes mengatakan bahawa mereka akan meneruskan tunjuk perasaan itu dan dijangka lebih 10,000 akan hadir.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami