INTERNATIONAL
PM Thailand Paetongtarn dimasukkan ke hospital alami demam panas
Perdana Menteri Thailand itu dimasukkan ke hospital malam tadi selepas dilaporkan mengalami demam panas. - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra dimasukkan ke hospital pada Khamis akibat demam panas selepas pulang dari lawatan rasmi dua hari ke Kemboja.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, dimasukkan ke hospital akibat demam panas selepas lawatan rasmi ke Kemboja.
- Doktor menasihatkan pemeriksaan dan rawatan menyeluruh, menyebabkan semua mesyuarat beliau ditangguhkan.
- Tugas rasmi sementara ini diserahkan kepada timbalan perdana menteri dan ketua setiausaha perdana menteri.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Jirayu Huangsap berkata perdana menteri dimasukkan ke hospital malam tadi selepas dilaporkan mengalami demam panas.
"Setelah selesai menjalankan tugas rasmi, perdana menteri berlepas dari Kemboja semalam kira-kira 2 petang dan tiba di Thailand pada 3.30 petang. Pada mulanya, beliau mengalami demam ringan, tetapi sebaik pulang ke rumah, keadaannya semakin teruk. Kira-kira jam 9 malam, beliau mendapatkan rawatan perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jirayu menambah bahawa doktor menasihatkan beliau dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan menyeluruh, dengan penilaian perubatan lanjut telah dijadualkan pada pagi ini.
Beliau berkata semua mesyuarat perdana menteri akan ditangguhkan, manakala tanggungjawab telah diserahkan kepada timbalan perdana menteri dan ketua setiausaha perdana menteri untuk bertindak bagi pihaknya.
-- BERNAMA