BANGKOK: Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menepis kenyataan Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan bahawa Parlimen mungkin dibubarkan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November, menyaksikan Thailand selaku pengerusi.

"Itu pandangan beliau (Prawit)... Bagaimanapun, Perdana Menteri yang akan buat keputusan (bubarkan parlimen)," katanya kepada media di sini hari ini.

Tambah beliau, masih terdapat isu lain yang perlu diselesaikannya demi kepentingan rakyat dan negara.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menunggu sehingga penggalnya tamat, Prayuth berkata 'tiada sebab untuk bercakap mengenainya sekarang".

Terdahulu, Prawit dilaporkan berkata masa paling sesuai untuk pembubaran Dewan Rakyat ialah selepas Sidang Kemuncak APEC pada November.

"Selepas Sidang Kemuncak APEC, kerajaan akan bebas daripada kewajiban antarabangsa dan, andai Dewan mahu dibubarkan, ia masa yang sesuai untuk berbuat demikian," katanya seperti dipetik Thai PBS.

Prawit berkata pilihan raya mungkin diadakan awal tahun depan sebelum penggal empat tahun berakhir pada Mac 2024.

-- BERNAMA