LONDON: Perdana Menteri Britain Keir Starmer pada Isnin berkata terdapat keperluan mendesak untuk menyambung semula gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan ketegangan berhubung Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
“Saya mengecam serangan Iran terhadap kapal komersial dan rakan kami di Teluk. Serangan ini mesti dihentikan,” kata Starmer pada sidang media bersama di Paris dengan pemimpin Perancis, Jerman dan Ukraine selepas mesyuarat “gabungan negara yang bersedia”.
Starmer menyatakan sokongan terhadap proses rundingan dan berkata pihaknya bersedia mengerahkan aset bagi membantu melancarkan semula pergerakan kapal.
“Kita perlu segera menyaksikan penyambungan semula gencatan senjata dan rundingan mengenai isu yang masih belum diselesaikan, di samping kebebasan pelayaran tanpa sekatan di selat berkenaan,” katanya.
AS dan Iran saling berbalas serangan pada hujung minggu, dengan Presiden Donald Trump berkata AS sedang “mengenakan semula” sekatan terhadap Iran dan akan mengenakan bayaran kepada kapal bagi memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Iran menutup laluan perairan utama itu semasa perang AS-Israel yang bermula pada akhir Februari, manakala pembukaan semula sepenuhnya dijangka selepas memorandum persefahaman bagi menamatkan perang ditandatangani pada Jun.
-- BERNAMA-ANADOLU