LONDON: Kerajaan Britain bakal memperkenalkan "Advanced British Standard" yang menggabungkan A-level dan T-level, lapor PA Media/dpa.

Perdana Menteri Rishi Sunak berkata di bawah perancangan perubahan sistem pendidikan itu, pelajar akan mempelajari lima mata pelajaran berbanding sebelum ini sebanyak tiga subjek.

Pembaharuan itu akan menyaksikan semua murid mempelajari bahasa Inggeris dan matematik sehingga umur 18 tahun.

"Kami bakal memperkenalkan piawaian yang akan menggabungkan A-level dan T-level menjadi kelayakan tunggal baharu untuk lepasan sekolah," kata Sunak pada persidangan Parti Konservatif.

Beliau berkata di bawah Advanced British Standard pelajar di tingkatan enam dan kolej akan menghabiskan lebih banyak masa di dalam bilik darjah.

"Ini akan memenuhi janji untuk menyetarakan antara pendidikan akademik dan teknikal," kata Sunak.

Beliau berkata usaha itu juga bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran dan pengetahuan yang secukupnya.

"Dengan Advanced British Standard, semua pelajar akan mempelajari beberapa bentuk matematik dan bahasa Inggeris, dengan bantuan tambahan diberikan kepada pelajar yang memerlukan. Tiada anak-anak yang akan ketinggalan," katanya.

-- BERNAMA