DUNIA

PM Vietnam arah langkah segera hadapi Taufan Fengshen

Bernama 20/10/2025 | 15:31 MYT
Taufan itu dijangka semakin kuat dan mungkin berubah laluan serta keamatannya apabila berinteraksi dengan udara sejuk mulai Selasa (21 Okt). - AP
HANOI: Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh telah mengeluarkan arahan rasmi kepada kementerian, agensi dan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan langkah segera dan proaktif sebagai persediaan menghadapi Taufan Fengshen dan banjir yang dijangka berlaku, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Sehingga 1 tengah hari Isnin, pusat ribut itu berada berhampiran latitud 18.3 darjah utara dan longitud 115.9 darjah timur, kira-kira 460 kilometer ke timur laut Zon Khas Hoang Sa, dengan kelajuan angin maksimum pada tahap 9 -10 (75 -100 kilometer sejam) serta kelajuan angin kencang sehingga tahap 12.

Menurut Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Nasional, taufan itu dijangka semakin kuat dan mungkin berubah laluan serta keamatannya apabila berinteraksi dengan udara sejuk mulai Selasa (21 Okt).

Antara 22 hingga 26 Okt, wilayah tengah negara itu - khususnya dari Ha Tinh hingga Quang Ngai - diramal mengalami hujan lebat yang meluas dan berpanjangan, dengan beberapa kawasan menerima lebih 900 milimeter hujan, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat, tanah runtuh dan banjir besar.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sistem ribut ini sangat kompleks dan berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan, banjir kilat serta tanah runtuh serius di banyak kawasan.

Beliau menggesa Kementerian Pertahanan, Keselamatan Awam, Pertanian dan Alam Sekitar, Pembinaan serta Perindustrian dan Perdagangan, bersama-sama wilayah pesisir dari Ha Tinh hingga Dak Lak, melaksanakan tahap kesiapsiagaan dan tindak balas tertinggi.

Pihak berkuasa turut diingatkan supaya bersedia menghadapi senario terburuk, memastikan keselamatan penduduk dan meminimumkan kerosakan harta benda.

-- BERNAMA

#Vietnam #pengurusan bencana #bencana alam #taufan fengshen #Pham Minh Chinh