INTERNATIONAL
PM Yaman letak jawatan di tengah-tengah ketegangan politik
Perdana Menteri Yaman Ahmed Awad Mubarak menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) pada Sabtu. - Gambar fail/REUTERS
ADEN (Yaman): Perdana Menteri Yaman Ahmed Awad Mubarak menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Majlis Kepimpinan Presiden (PLC) pada Sabtu, memetik kekangan perlembagaan dan halangan yang menghalang inisiatif pembaharuannya, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan rasmi peletakan jawatan itu, perdana menteri mendedahkan bahawa beliau menghadapi "banyak kesukaran", termasuk tidak dapat merombak kerajaan dan menggunakan kuasa perlembagaannya untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang diperlukan.
"Walaupun menghadapi cabaran, kami berjaya menjimatkan kewangan negara dengan ketara," katanya, sambil merujuk penjimatan lebih US$133.5 juta dalam kos pembelian bahan api elektrik pada tahun lalu.
Peletakan jawatan perdana menteri itu berlaku ketika Yaman terus menghadapi pelbagai cabaran, termasuk konflik berterusan dengan tentera Houthi dan ketidakstabilan ekonomi.
Sumber yang mengetahui perkara itu memaklumkan bahawa ketegangan antara Bin Mubarak dan Ketua PLC, Rashad al-Alimi, telah mencapai tahap buntu.
Sebelum peletakan jawatan itu, seramai 18 menteri Kabinet menandatangani memorandum pada April lalu bagi menuntut pengguguran beliau, sekali gus menunjukkan perpecahan serius dalam kerajaan yang diiktiraf antarabangsa.
Beberapa hari kebelakangan ini, bantahan besar-besaran berlaku di Aden dan wilayah lain di bawah kawalan kerajaan, dengan penunjuk perasaan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan perkhidmatan asas, termasuk gangguan bekalan elektrik, serta kemerosotan ekonomi yang menyebabkan jutaan penduduk bergelut untuk memenuhi keperluan harian.
Mubarak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 5 Feb 2024. Sebelum itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Menteri Luar dan Duta ke Amerika Syarikat.
"Peletakan jawatan ini mencerminkan cabaran tadbir urus yang serius dihadapi pihak berkuasa sah Yaman," kata seorang pegawai kanan kerajaan yang enggan dinamakan. "Perpecahan dalaman telah menjejaskan keupayaan untuk menangani krisis negara yang semakin meruncing."
Penganalisis politik menjangka peletakan jawatan ini mungkin membuka laluan kepada rombakan kabinet dalam usaha PLC memulihkan keyakinan rakyat dan memperkukuh tadbir urus di tengah-tengah bencana kemanusiaan yang berlarutan.
Yaman terjerumus dalam konflik sejak 2014 apabila kumpulan Houthi menawan ibu negara Sanaa, memaksa kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa memindahkan operasinya ke Aden.
-- BERNAMA