SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun ditemui pihak berkuasa terbiar di luar rumahnya di Arizona, Amerika Syarikat.

Menurut satu kenyataan akhbar, ketika ditemui kanak-kanak itu hanya memakai lampin dan kemeja-T, sedang menangis dan cuba memasuki rumah.

"Kanak-kanak itu berpeluh dan begitu kotor serta mukanya merah," itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Sherif Wilayah Pinal.

Ibu bapa kanak-kanak itu tiada di rumah dan apabila dihubungi, si bapa hanya menjawab, "apa-apa sajalah," sebelum memutuskan talian.

Ibu bapa kanak-kanak, Brent dan Brianna Daley yang berusia 27 dan 25 tahun ditahan atas dakwaan cuai dan membahayakan anak dalam kejadian yang berlaku bulan lalu itu.

Lebih memeranjatkan, pasangan berkenaan mengaku meninggalkan anak mereka kerana bermain Pokemon Go.

"Pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tentang bahaya permainan ini yang boleh melekakan, namun kami tidak sangka ia akan sampai ke tahap ini," kata Sherif Paul Babeu.

Pihak berkuasa dilaporkan tiba di rumah kanak-kanak itu selepas mendapat panggilan daripada jiran-jiran.

Pasangan Daley pada mulanya memberitahu mereka keluar membeli barangan dapur, namun menukar kenyataan selepas ditahan.

"Mereka mengakui bermain Pokemon Go selama hampir 90 minit," kata Babeu.