[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Polemik The Fed: Pentadbiran Trump rayu keputusan mahkamah halang penyingkiran gabenor

Astro Awani 11/09/2025 | 02:00 MYT
Trump telah mengarahkan pemecatan Cook pada akhir Ogos, dengan mendakwa beliau memberikan maklumat tidak tepat mengenai tiga hartanah dalam permohonan gadai janji sebelum pengesahan Senat pada 2022. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan AS yang menghalang sementara usaha untuk menyingkirkan Gabenor Rizab Persekutuan, Lisa Cook.


Ringkasan AI
  • Pentadbiran Presiden AS Donald Trump mencabar keputusan mahkamah yang menghalang sementara usaha menyingkirkan Gabenor Rizab Persekutuan, Lisa Cook, atas dakwaan salah laku sebelum pelantikan.
  • Hakim Jia Cobb menekankan kepentingan mengekalkan autonomi Rizab Persekutuan daripada pengaruh politik, dan menyatakan pemecatan hanya sah atas sebab munasabah semasa memegang jawatan.
  • Kes ini dijangka memberi kesan besar terhadap kebebasan bank pusat dan mungkin dibawa ke Mahkamah Agung, dengan Cook mendakwa pemecatan bermotifkan politik berkaitan pendiriannya terhadap dasar ekonomi.


Rayuan tersebut difailkan pada Rabu kepada Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat di Columbia Circuit susulan keputusan Hakim Daerah, Jia Cobb yang menyatakan bahawa dakwaan salah laku terhadap Cook sebelum pelantikannya tidak mencukupi sebagai alasan sah untuk pemecatan.

Dalam notis ringkas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyatakan hasrat untuk mencabar keputusan tersebut tanpa mengemukakan hujah undang-undang terperinci.

Sebelum ini, DoJ memohon keputusan segera bagi membolehkan rayuan dibuat sebelum mesyuarat dasar Rizab Persekutuan yang dijadualkan pada 16 dan 17 September ini.

Trump telah mengarahkan pemecatan Cook pada akhir Ogos, dengan mendakwa beliau memberikan maklumat tidak tepat mengenai tiga hartanah dalam permohonan gadai janji sebelum pengesahan Senat pada 2022.

Cook menafikan sebarang salah laku dan telah memfailkan saman, menyatakan bahawa tindakan pemecatan tersebut bermotifkan politik dan berkaitan dengan pendiriannya terhadap dasar monetari.

Dalam keputusannya pada Selasa, Hakim Cobb menekankan kepentingan mengekalkan kebebasan Rizab Persekutuan daripada pengaruh politik.

Beliau menyatakan bahawa undang-undang yang mengawal bank pusat itu hanya membenarkan pemecatan gabenor “atas sebab munasabah”, yang ditafsirkan sebagai salah laku semasa memegang jawatan.

“Kepentingan awam terhadap kebebasan Rizab Persekutuan daripada paksaan politik menyokong keputusan untuk mengekalkan Cook dalam jawatannya sementara kes ini diteruskan,” kata Cobb, sambil menambah bahawa isu ini melibatkan persoalan undang-undang yang belum pernah diuji di mahkamah.

Kes ini dijangka mempunyai implikasi besar terhadap autonomi Rizab Persekutuan dan mungkin akan dibawa ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Jurucakap White House, Kush Desai, dalam kenyataan sebelum rayuan difailkan, berkata Presiden telah bertindak secara sah dalam menyingkirkan Cook dan yakin keputusan mahkamah itu bukanlah penamat kepada isu berkenaan.





#Donald Trump #Lisa Cook #DoJ #Gabenor Rizab Persekutuan