INTERNATIONAL

Polis Britain tahan lima individu disyaki rancang serangan keganasan

Bernama 04/05/2025 | 08:45 MYT
Empat warga Iran ditahan di bawah Akta Keganasan (TACT) 2006, manakala individu kelima ditahan di bawah Akta Polis dan Keterangan Jenayah (PACE). - Gambar hiasan
LONDON: Lima lelaki ditahan kerana disyaki membuat persiapan untuk melakukan perbuatan keganasan selepas polis Britain mendedahkan komplot yang dipercayai menyasarkan sebuah premis, lapor PA Media/dpa.


Ringkasan AI
  • Lima lelaki ditahan kerana disyaki membuat persiapan untuk melakukan perbuatan keganasan. Empat daripada mereka adalah warganegara Iran, manakala kewarganegaraan individu kelima masih dalam siasatan.
  • Polis Antikeganasan Britain mendedahkan komplot yang dipercayai menyasarkan sebuah premis, namun lokasi premis tersebut tidak didedahkan atas sebab operasi. Polis telah menghubungi premis berkenaan untuk memberikan nasihat dan sokongan.
  • Siasatan yang diketuai oleh Unit Counter Terrorism Command Polis Metropolitan masih di peringkat awal. Polis sedang meneliti pelbagai petunjuk untuk mengenal pasti motif dan menilai ancaman lanjut terhadap orang awam. Empat warga Iran ditahan di bawah Akta Keganasan (TACT) 2006, manakala individu kelima ditahan di bawah Akta Polis dan Keterangan Jenayah (PACE).


Menurut polis, Polis Antikeganasan telah menghubungi premis berkenaan untuk memaklumkan situasi serta memberikan nasihat dan sokongan, namun lokasi itu idak didedahkan atas sebab operasi.

Empat daripada lelaki yang ditahan pada Sabtu (3 Mei) merupakan warganegara Iran manakala kewarganegaraan individu kelima masih dalam siasatan.

Siasatan proaktif yang diketuai oleh Unit Counter Terrorism Command Polis Metropolitan telah membawa kepada penahanan terancang lima lelaki berusia antara 29 hingga 46 tahun di beberapa lokasi sekitar England.

Ketua Unit Counter Terrorism Command Polis Metropolitan Komander Dominic Murphy berkata siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya sedang meneliti pelbagai petunjuk bagi mengenal pasti motif serta menilai sama ada terdapat ancaman lanjut terhadap orang awam.

"Kami faham orang ramai mungkin bimbang dan seperti biasa, kami menggesa mereka agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang perkara mencurigakan kepada pihak polis," tambahnya.

Empat warga Iran itu ditahan di bawah Akta Keganasan (TACT) 2006 manakala individu kelima ditahan di bawah Akta Polis dan Keterangan Jenayah (PACE).

-- BERNAMA




#Britain #serangan pengganas #warga Iran #rancangan serangan