Polis di Jepun dibenar guna senapang untuk hapuskan beruang

Pemasangan perangkap juga menjadi antara langkah yang dijalankan pihak berkuaa bagi menangani insiden serangan beruang yang semakin kerap terjadi di Jepun. - Gambar AP
TOKYO: Agensi Polis Kebangsaan Jepun pada Khamis meminda peraturannya bagi membenarkan pegawai polis menggunakan senapang untuk menghapuskan beruang, susulan peningkatan serangan haiwan itu terhadap manusia, lapor agensi berita Kyodo.
Sebelum ini, peraturan penggunaan senapang oleh polis amat ketat dan hanya dibenarkan dalam insiden seperti rampasan pesawat atau kes ekstrem lain. Pindaan itu akan berkuat kuasa pada 13 Nov.
Di wilayah Iwate dan Akita, yang mencatatkan jumlah serangan beruang tertinggi, pasukan khas senjata api polis dari wilayah lain akan menjalankan latihan bersama dengan persatuan pemburu tempatan dan pihak berkaitan bagi meningkatkan pemahaman tentang tabiat serta kelemahan beruang.
Pegawai polis dibenarkan membunuh beruang yang muncul di kawasan bandar di kedua-dua wilayah itu mengikut undang-undang penguatkuasaan sekiranya tidak cukup masa untuk menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi tindakan kecemasan.
Dua pasukan pegawai polis akan ditempatkan di setiap wilayah, masing-masing terdiri daripada seorang pegawai pemerintah, seorang pegawai perhubungan dengan pihak berkuasa tempatan serta dua penembak tepat.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, jumlah kematian akibat serangan beruang sejak April lalu mencecah 13 orang setakat Rabu - angka tertinggi pernah direkodkan.
Bulan lalu, Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara mengarahkan agensi polis mempertimbangkan kebenaran penggunaan senapang untuk menghapuskan beruang.
Pada Selasa dan Rabu, agensi itu menghantar pegawai ke wilayah Iwate dan Akita untuk menilai keadaan dan kemudiannya menerima permintaan bantuan rasmi.
Setakat ini, polis telah memindahkan penduduk tempatan, mengawal kawasan sekitar serta membuat rondaan di laluan sekolah yang pernah dilaporkan menjadi lokasi kemunculan beruang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


