Polis Hatyai telah menahan rakan kepada Allahyarham Mohd Nizam Ahmad Basrah yang mati ditembak dua hari lepas bagi membantu siasatan terhadap kes pembunuhan itu.

Timbalan Ketua Polis Hatyai, Khittichai Sankha-thavorn berkata lelaki warga Thai itu, yang ditahan di bandar pelancongan itu dipercayai ada bersama-sama mangsa sebelum Mohd Nizam ditembak mati ketika menunggang motosikal.

"Satu pasukan khas polis telah ditubuhkan untuk menyelesaikan kes pembunuhan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa berusia 28 tahun itu dan berasal dari Pulau Pinang itu ditembak mati di Jalan Phadungpakdee ketika sedang menunggang motosikal seorang diri menuju ke sebuah hotel kira-kira 3.30 pagi.

Mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah serta mempunyai dua kesan tembakan di bahagian dada dan punggungnya.

Polis turut menemui dua kelongsong peluru 9mm di lokasi kejadian.

Khittichai juga berkata polis sedang mengumpul beberapa maklumat penting yang dapat merungkai motif di sebalik kejadian pembunuhan itu.

Sementara itu, jenazah Allahyarham telah pun dituntut oleh anggota keluarganya dari Hospital Hatyai dengan bantuan pegawai Pejabat Konsulat Malaysia di Songkla, petang semalam.

Sebelum dibawa pulang ke Pulau Pinang, jenazah mangsa telah disembahyangkan di Masjid Pakistan di sini sebelum diserahkan kepada bapanya yang menunggu di Bukit Kayu Hitam.

BACA: Mangsa tembak di Hatyai selamat dikebumikan