Polis Indonesia lepaskan gas pemedih mata suraikan bantahan kemenangan Jokowi

Agensi
Mei 21, 2019 21:15 MYT
Polis terpaksa mengambil tindakan itu selepas sekumpulan penunjuk perasaan membaling mercun ke arah anggota polis yang berkawal. - Foto REUTERS
Polis Indonesia terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di tengah ibu kota Jakarta, susulan bantahan terhadap keputusan rasmi yang mengumumkankan Joko Widodo atau Jokowi muncul pemenang pilihan raya Presiden Indonesia (PilPres) 17 April lalu.
Jokowi mendapat 55.5 peratus undi mengatasi pesaingnya Jeneral Prabowo Subianto yang mendapat 45 peratus undi.
Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia mengumumkan keputusan itu pada Selasa sehari lebih awal dari yang dijadualkan, selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam, Isnin.
Perhimpunan yang bermula sejak Selasa malam itu bagaimanapun berakhir dengan aman dengan majoritinya dihadiri penyokong Prabowo.
Polis terpaksa mengambil tindakan itu selepas sekumpulan penunjuk perasaan membaling mercun ke arah anggota polis yang berkawal.
Susulan pengumuman itu, pada Selasa Prabowo berkata dia akan mengambil langkah mengikut undang-undang yang ada bagi mempertahan perlembagaan negara itu dan mandat rakyat.
Sebuah agensi pemantau pilihan raya, pada Isnin menyangkal berlakunya penipuan secara sistemetik sepanjang perjalanan pilihan raya kerana tiada bukti kukuh dikemukakan.
Pemerhati dan penganalisis pilihan raya juga berkata proses pengundian berjalan secara bebas dan adil. - Agensi
#gas pemedih mata #Indonesia #Jakarta #Joko Widodo #Pemilu #perhimpunan #pilihan raya #Pilpres 2019 #polis #Prabowo Subianto #presiden #rakyat