Polis Indonesia akan meneruskan siasatan terhadap aduan menghina Islam yang didakwa beberapa kumpulan agama terhadap gabenor Jakarta dan melarang beliau daripada meninggalkan negara itu.

Aduan terhadap Basuki Tjahaja Purnama, yang dikenali sebagai "Ahok" itu susulan reaksi Presiden Joko Widodo yang berusaha untuk memastikan keselamatan dan mengelak ketegangan agama di negara majoriti Islam terbesar di dunia itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ari Dono Sukmanto memberitahu wartawan walaupun tiada kata sepakat selepas siasatan awal, "pandangan majoriti ialah kes ini perlu diselesaikan di mahkamah."

Ahok tidak akan dibenar meninggalkan Indonesia ketika siasatan dijalankan, kata polis.

Keputusan untuk menggugurkan kes itu boleh mencetuskan bantahan besar-besaran oleh umat Islam terhadap bukan sahaja Ahok tetapi juga Joko Widodo, yang dilihat sebagai penyokong utama beliau.

Kemarahan terhadap Ahok tercetus ketika ucapan pada September lalu di mana beliau berkata pihak lawan telah menipu pengundi dengan menyerangnya menggunakan ayat Al-Quran.

Ahok telah memohon maaf atas keterlanjuran tutur katanya itu namun beberapa kumpulan agama telah menuntut beliau meletakkan jawatan kerana menghina Al-Quran.

Pada awal bulan ini, lebih 100,000 umat Islam berarak mengecam tindakan Ahok dan menggesa pengundi agar tidak melantiknya semula.

Jurucakap presiden, Johan Budi menggesa semua pihak agar menghormati keputusan polis untuk meneruskan kes itu.

"Sedari awal, presiden bertegas tidak akan campur tangan," kata Johan Budi.

Sokongan kepada Ahok yang sangat popular dengan pendekatan reformisnya jatuh mendadak susulan kontroversi itu.