DUNIA

Polis Israel serbu ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur

Bernama 08/12/2025 | 15:46 MYT
Pasukan polis menyerbu ibu pejabat itu, menahan pengawal keselamatan dan merampas telefon mereka.
BAITULMUQADDIS/ISTANBUL: Polis Israel pada Isnin menyerbu ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) yang telah ditutup di kejiranan Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kompleks itu berfungsi sebagai pejabat UNRWA sejak 1951, namun agensi berkenaan mengosongkannya awal tahun ini susulan keputusan kerajaan Israel. Tel Aviv mengharamkan operasi UNRWA di Baitulmuqaddis melalui undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Israel (Knesset).

Pentadbiran Gabenor Baitulmuqaddis yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Palestin berkata pasukan polis menyerbu ibu pejabat itu, menahan pengawal keselamatan dan merampas telefon mereka.

"Polis Israel memutuskan komunikasi, menyebabkan mustahil untuk mengetahui apa yang berlaku di dalam kompleks berkenaan," menurut pentadbiran itu dalam satu kenyataan.

Serbuan itu berlaku "bersama penutupan menyeluruh kawasan sekitar dan pemeriksaan meluas yang dilakukan oleh pasukan keselamatan pendudukan di semua kemudahan bangunan berkenaan," tambah kenyataan tersebut.

"Serbuan ini merupakan cabaran langsung kepada undian meluas Perhimpunan Agung PBB beberapa hari lalu untuk memperbaharui mandat UNRWA," menurut pentadbiran berkenaan

Pentadbiran Gabenor Baitulmuqaddis turut mmenggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan kerana melanggar undang-undang antarabangsa," serta mendakwa pemimpin Israel "atas jenayah dan pelanggaran yang dilakukan terhadap rakyat Palestin serta institusi nasional dan antarabangsa mereka."

Tiada ulasan segera daripada polis Israel atau UNRWA mengenai serbuan itu.

Pada Jumaat, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi untuk memperbaharui mandat UNRWA selama tiga tahun.

Resolusi itu disokong oleh 151 undi berbanding 10 yang menentang, manakala 14 berkecuali.

UNRWA menghadapi kesukaran kewangan yang teruk sejak Israel melancarkan kempen fitnah terhadap UNRWA, mendakwa kakitangannya terlibat dalam serangan 7 Okt.

Walaupun UNRWA meminta kerajaan Israel memberikan maklumat dan bukti bagi menyokong dakwaan itu, agensi berkenaan tidak menerima sebarang maklum balas. Susulan tuduhan Israel itu, beberapa negara penderma utama termasuk Amerika Syarikat menggantung atau menangguhkan pembiayaan.

-- BERNAMA
#UNRWA #Baitulmuqaddis Timur #ibu pejabat diserbu #Israel