Polis Itali, Jerman tahan hampir 200 anggota mafia, rampas aset AS$60 juta

Astro Awani
Januari 9, 2018 21:46 MYT
Polis Itali telah menahan lebih daripada 150 suspek dipercayai anggota kumpulan mafia yang paling terkenal. REUTERS
Pihak berkuasa Itali dan Jerman menahan hampir 200 individu dipercayai anggota mafia dan merampas aset bernilai AS$60 juta dalam operasi bersepadu dijalankan serentak di dua negara.
Operasi dipercayai berjaya membongkar kumpulan jenayah terancang 'Ndrangheta yang berpangkalan di wilayah selatan Calabria, Itali.
Mereka yang ditahan didakwa menjalankan empayar politik dan komersil dikawal kumpulan mafia, bermula dari penjualan roti, produk berasaskan alkohol, pengurusan pengkebumian, perumahan migran dan perkhidmatan kitar semula sampah.
Pendakwa raya Itali memaklumkan kumpulan 'Ndrangeta terlibat dalam setiap perniagaan di bandar Calabrian, dan meluaskan pengaruhnya ke Jerman, menerusi keuntungan yang diperoleh daripada hasil perniagaan yang dijalankan.
Siasatan juga mendapati, kumpulan berkenaan memonopoli pasaran dengan memaksa pengguna membeli barangan hanya di rangkaian perniagaan yang dimiliki mereka.
Empayar terancang 'Ndrangheta ini merangkumi sektor ekonomi dan politik dari Rome, Milan dan beberapa bandar lagi.
'Ndrangheta turut bertapak di Jerman, dan mula menjadi tajuk utama pada 2007, selepas pertikaian keluarga antara kumpulan Calabrians, berakhir dengan insiden tembakan yang mengorbankan enam nyawa.
#'Ndrangheta #ekonomi #Itali #jenayah #Jerman #mafia #operasi #polis #siasatan #tembakan