Polis Jepun bangunkan sistem AI lakar wajah suspek

Polis Jepun dan Universiti of Human Environments serta NTT Data Group Corp membangunkan satu sistem bagi menghasilkan lukisan komposit suspek menggunakan AI. - Gambar hiasan/Freepik
NAGOYA: Polis Jepun bersama sebuah universiti di Wilayah Aichi serta syarikat NTT Data Group Corp. telah membangunkan satu sistem bagi menghasilkan lukisan komposit suspek menggunakan kecerdasan buatan (AI), bertujuan menjimatkan masa dan membolehkan individu tanpa kemahiran melukis menghasilkan lakaran yang boleh dipercayai.
Agensi Berita Kyodo melaporkan bahawa sistem itu akan diuji antara April 2026 hingga September 2027, namun pasukan polis di wilayah tengah Jepun itu masih belum mengumumkan garis masa bagi pelaksanaan praktikalnya.
Pada pertengahan Disember, pelajar dari Universiti of Human Environments menguji prototaip berkenaan di ibu pejabat polis di Nagoya dengan melihat wajah seorang pegawai yang menyamar sebagai suspek selama kira-kira 30 saat sebelum memasukkan maklumat seperti jantina, anggaran umur, saiz hidung dan gaya rambut.
Mereka kemudian memilih lakaran yang paling menyerupai wajah yang dilihat daripada empat komposit yang dihasilkan sistem itu dan membuat sedikit pengubahsuaian. Lakaran itu berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira 10 minit.
"Ia sukar, tetapi saya dapat menghasilkan lakaran yang serupa dengan model itu. Saya berharap sistem ini dapat digunakan bagi membantu menahan suspek dengan cepat," kata Kaho Hibino, 22, pelajar universiti berkenaan.
Ketua unit siber pasukan polis itu, Yoshihiro Aoyama, berkata: "Kami berhasrat meningkatkan kecekapan kerja kepolisan dengan menggunakan AI."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


