TOKYO: Selama beberapa dekad, sekeping foto lelaki bernama Satoshi Kirishima sedang tersenyum dipaparkan pada poster orang dikehendaki di luar balai polis di seluruh Jepun.

Selepas 49 tahun, pihak berkuasa yakin mereka telah menemui individu yang dicari selama ini.

Pihak polis sedang menunggu ujian DNA ke atas seorang pesakit kanser yang dimasukkan ke sebuah hospital di Tokyo minggu lalu, dengan nama berbeza.

Kirishima adalah anggota Barisan Bersenjata Anti-Jepun Asia Timur, sebuah organisasi radikal berhaluan kiri yang dipercayai bertanggungjawab dalam beberapa siri pengeboman maut pada 1970-an.

Lapan orang terbunuh dalam satu serangan yang dilakukan oleh kumpulan itu di ibu pejabat Mitsubishi Heavy Industries pada tahun 1974.

Kirishima juga didakwa membantu dalam kejadian letupan yang memusnahkan sebahagian bangunan di daerah Ginza Tokyo dalam satu serangan tertentu pada 18 April 1975.

Kirishma, yang kini berusia 70 tahun, pada mulanya menggunakan nama yang berbeza ketika mendaftar masuk ke sebuah hospital di Bandar Kamakura di Kanagawa, selatan Tokyo.

Tetapi dia kemudiannya memberitahu kakitangan hospital identiti sebenarnya, dan mengatakan mahu menggunakan nama sebenar pada "saat-saat terakhir" kerana dia hanya mempunyai beberapa bulan lagi untuk hidup, lapor media tempatan. - Agensi/Sinar Harian