[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
INTERNATIONAL

Polis Korea Selatan perketat kawalan keselamatan menjelang keputusan pendakwaan Yoon

Bernama 03/04/2025 | 12:41 MYT
Polis telah menyelesaikan operasi "zon vakum" berhampiran Mahkamah Perlembagaan dengan menutup kawasan dalam lingkungan radius 150 meter dari bangunan mahkamah menggunakan bas polis. - Gambar fail/Reuters
SEOUL: Polis Korea Selatan meletakkan pasukan mereka dalam keadaan berjaga-jaga tahap kedua tertinggi pada Khamis, sehari sebelum Mahkamah Perlembagaan menyampaikan keputusannya mengenai kes pendakwaan Presiden Yoon Suk Yeol berhubung percubaannya melaksanakan undang-undang tentera yang gagal.
Amaran "Eulho" itu meletakkan separuh daripada keseluruhan anggota polis dalam keadaan bersiap sedia, manakala tahap amaran tertinggi, "Gapho," akan dikeluarkan pada Jumaat yang membolehkan seluruh pasukan polis memberi tumpuan sepenuhnya kepada situasi itu, menurut agensi berita Yonhap.
Polis juga telah menyelesaikan operasi "zon vakum" berhampiran Mahkamah Perlembagaan dengan menutup kawasan dalam lingkungan radius 150 meter dari bangunan mahkamah menggunakan bas polis.
Pada Jumaat, kira-kira 14,000 anggota polis dijangka dikerahkan di Seoul.
Sementara itu, penunjuk perasaan yang menyokong dan menentang pendakwaan Yoon dijadual mengadakan bantahan secara duduk semalaman di bandar raya itu bermula Khamis, lapor Yonhap.
-- BERNAMA
#Gapho #anggota polis #bantahan secara duduk #zon vakum