GENEVA: Polis Switzerland memburu suspek kejadian tembakan di sebuah pesta "rave" di Aarau yang mengorbankan seorang wanita dan mencederakan lima yang lain pada awal Ahad, lapor Xinhua.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi waktu tempatan (0030 GMT) di litar lumba kuda Schachen di Aarau, ibu kota Aargau di utara Switzerland, ketika acara “Aarau Rave VOL. 7” hampir berakhir.
Acara itu secara rasmi tamat pada 2 pagi dan kira-kira 100 orang masih berada di lokasi ketika tembakan dilepaskan.
Saksi berkata bunyi tembakan pada mulanya disangka bunga api sebelum beberapa das kedengaran selama beberapa minit ketika pengunjung sedang meninggalkan kawasan berkenaan.
Seorang wanita warga Itali berusia 22 tahun yang menetap di Switzerland maut di tempat kejadian.
Lima lagi, terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 27 tahun yang semuanya menetap di Switzerland, dimasukkan ke hospital. Dua daripada mereka ialah warga Itali.
Polis mengesahkan tiada mangsa yang cedera berada dalam keadaan mengancam nyawa.
Komander Polis Kanton Michael Leupold berkata pihak berkuasa sedang meneliti tiga kemungkinan iaitu serangan pengganas, tindakan amuk atau perbuatan jenayah yang mungkin berpunca daripada persengketaan antara pihak tertentu.
Bagaimanapun, setakat ini tiada motif diberikan keutamaan dan semua kemungkinan masih disiasat.
Bukti menunjukkan tembakan dilepaskan dari dua lokasi berbeza.
Polis turut menemukan kelongsong peluru daripada dua kaliber, termasuk peluru pistol dan kelongsong daripada senjata laras panjang, manakala sejumlah besar das tembakan dipercayai telah dilepaskan.
Operasi itu melibatkan semua anggota polis Aargau yang tersedia, dengan bantuan polis dari wilayah lain, unit khas Argus, elemen tindak balas bencana (KKE) serta sebuah helikopter Super Puma Tentera Switzerland.
Polis Jerman turut menyertai operasi berkenaan menerusi kerjasama rentas sempadan.
Polis percaya suspek telah melarikan diri dari kawasan Aarau dan setakat petang Ahad masih belum mempunyai petunjuk kukuh mengenai identiti atau jumlah mereka.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa tiada ancaman serta-merta terhadap orang ramai ketika ini.
-- BERNAMA-XINHUA