Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Polis Mesir tembak mati lapan penyeludup dadah bersembunyi di pulau Sungai Nil

Bernama 20/08/2025 | 07:10 MYT
Polis Mesir merampas 125 kilogram dadah bernilai sekitar US$330,000 dan lapan laras senjata api dalam operasi tersebut. - Gambar hiasan/ Reuters
KAHERAH: Polis Mesir menembak mati lapan penyeludup dadah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di pulau-pulau Sungai Nil, utara Kaherah, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Polis Mesir menembak mati lapan penyeludup dadah dalam kejadian berbalas tembakan di pulau-pulau Sungai Nil, utara Kaherah, selepas memantau kegiatan mereka yang menggunakan bot laju untuk mengelak dikesan.
  • Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes bunuh, penyeludupan dadah, pemilikan senjata api haram dan rompakan bersenjata.
  • Polis merampas 125 kilogram dadah bernilai sekitar US$330,000 dan lapan laras senjata api dalam operasi tersebut.


Menurut kementerian, kesemua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah termasuk kes bunuh, penyeludupan dadah, pemilikan senjata api haram, rompakan bersenjata serta kecurian kenderaan, lapor Xinhua.

Mereka dipercayai menjalankan kegiatan dari pulau-pulau Sungai Nil berhampiran wilayah Menoufia dan Qalyubia dengan menggunakan bot laju serta memanfaatkan bentuk muka bumi bagi mengelak daripada dikesan pihak keselamatan.

Pasukan keselamatan memantau dan menjejaki kegiatan kumpulan itu sebelum melancarkan serbuan.

"Penjenayah melepaskan tembakan secara agresif, namun polis berjaya menumpaskan mereka," menurut kenyataan itu.

Polis turut merampas 125 kilogram dadah dianggarkan bernilai 16 juta paun Mesir (sekitar US$330,000) bersama lapan laras senjata api, menurut kementerian.

-- BERNAMA





#penyeludup dadah #Mesir #Sungai Nil