DUNIA

Polis Perancis serbu pejabat X di Paris ketika Elon Musk berdepan saman

Bernama 03/02/2026 | 22:15 MYT
Musk (gambar) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif X Linda Yaccarino dipanggil untuk hadir bagi sesi soal siasat pada 20 April. - Gambar fail/REUTERS
PARIS: Penyiasat Perancis pada Selasa menggeledah pejabat platform X milik Elon Musk di Paris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Musk dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif X Linda Yaccarino dipanggil untuk hadir bagi sesi soal siasat pada 20 April, menurut pejabat pendakwa raya Paris.

Kakitangan daripada agensi polis Eropah, Europol, turut hadir semasa penggeledahan itu dilakukan.

X telah berada di bawah siasatan selama kira-kira setahun di ibu negara Perancis itu berhubung dakwaan bahawa algoritma dalam rangkaian media sosial berkenaan telah diubah bagi memberi lebih perhatian kepada kandungan berhaluan kanan.

Dakwaan baharu juga muncul bahawa chatbot AI syarikat itu telah menghasilkan "deepfake" membabitkan wanita dan kanak-kanak, termasuk penafian Holocaust serta imej berunsur seksual.

Pendakwa raya Paris Laure Beccuau berkata siasatan itu bertujuan untuk memastikan X beroperasi di Perancis mengikut undang-undang negara berkenaan.

-- BERNAMA

#Elon Musk #Paris #polis Perancis serbu pejabat X #deepfake