DUNIA
Polis Singapura akan bantu Indonesia dalam siasatan penyeludupan bayi

Polis tidak menerima sebarang laporan tempatan mahupun maklumat berkaitan bayi yang diseludup masuk ke Singapura dari Indonesia, namun, sedia maklum mengenai laporan media berhubung sindiket ini. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) akan memberikan kerjasama sewajarnya kepada pihak berkuasa Indonesia, selaras dengan peruntukan undang-undang, susulan penahanan beberapa suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan bayi yang dikaitkan dengan Singapura.
SPF dalam kenyataan kepada Bernama berkata, mereka telah menghubungi pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan itu.
"Polis tidak menerima sebarang laporan tempatan mahupun maklumat berkaitan bayi yang diseludup masuk ke Singapura dari Indonesia.
"Bagaimanapun, kami maklum mengenai laporan media yang mendakwa wujud sindiket penyeludupan bayi yang mempunyai kaitan dengan Singapura," kata jurucakap SPF kepada pertanyaan Bernama.Polis Indonesia pada Selasa memaklumkan, 12 suspek telah ditahan berhubung sindiket penyeludupan bayi itu dan enam bayi berjaya diselamatkan.
Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Surawan, seorang daripada suspek mendedahkan bahawa lima daripada bayi yang diselamatkan itu dijadualkan dihantar ke Singapura menggunakan dokumen palsu.
Kumpulan berkenaan dipercayai telah menjual sekurang-kurangnya 25 bayi sejak 2023, dengan 15 daripadanya dilaporkan dihantar ke Singapura, menurut laporan BBC News Indonesia.
Seorang lagi suspek ditahan pada waktu malam 15 Julai, dan pihak polis masih mengesan tiga suspek lain yang dipercayai berada di luar negara, lapor Metro TV.
Siasatan yang bermula selepas seorang ibu bapa membuat laporan berkaitan penculikan bayi, membawa kepada pendedahan rangkaian penyeludupan lebih besar melibatkan bayi yang dipercayai berasal dari pelbagai kawasan di Jawa Barat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami