230 individu setakat ini telah ditahan polis Indonesia, atas dakwaan memulakan kebakaran yang kini telah menyebabkan jerebu teruk di sebahagian besar kawasan Asia Tenggara.

Jurucakap polis Indonesia Dedi Prasetyo, seperti dilaporkan agensi berita AP berkata, antara yang ditahan pada Isnin lepas adalah tiga individu yang cuba membersihkan tanah untuk proses penanaman semula tumbuhan di Taman Negara Tesso Nilo, yang menempatkan kira-kira 140 spesis haiwan terancam.

Menurut undang-undang negara itu, mereka yang didapati bersalah kerana memulakan pembakaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun.

Kebakaran yang bermula di Indonesia kini menjadi masalah tahunan, dan telah memberi kesan kepada negara jiran.


Asap tebal dari kebakaran itu mengakibatkan jerebu yang kini telah meliputi bukan sahaja Indonesia, tetapi juga Singapura, Malaysia, dan Selatan Thailand.

Jarak penglihatan yang kurang baik akibat asap tebal berkenaan telah menyebabkan kelewatan penerbangan di beberapa lapangan terbang di Indonesia dan Malaysia, selain memaksa pihak berkuasa untuk menutup ribuan sekolah di dua negara berkenaan.

Di Malaysia sahaja, penutupan itu telah memberi kesan kepada 1.5 juta pelajar.

Ketika ini, pihak berkuasa Malaysia telah menjalankan operasi pembenihan awan dalam usaha membersihkan udara daripada jerebu itu.

Selain itu, mereka juga sedang mengkaji undang-undang bersesuaian yang mana sekiranya diluluskan, boleh mengenakan denda kepada syarikat perladangan Malaysia yang memulakan kebakaran itu.