Polis Thai pada Isnin memanggil tokoh pembangkang paling tersohor di Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit untuk mendengar pertuduhan berkaitan dengan perhimpunan di Bangkok pada 14 Dis.

Ketua Polis Pathumwan,Kol Patikorn Sornchai berkata polis telah mengeluarkan arahan kepada pemimpin Future Forward Party (FFP) Thanathorn dan ahli parti, Pairatchote Chantarakhachorn untuk melapor diri di balai polis Pathumwan pada 10 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat.

Beliau berkata dua eksekutif parti -- setiausaha agung Piyabutr Saengkanokkul dan jurucakap parti Pannika Wanich -- dan Ahli Parlimen (MP) daripada parti itu Pita Limjaroenrat akan dipanggil sebaik sahaja polis mendapat kebenaran daripada Yang Dipertua Parlimen.

Tiga MP itu dilindungi oleh imuniti Parlimen semasa sidang sedang berlangsung.

Polis berkata Thanathorn telah meminta penyokong parti mengadakan perhimpunan di Bangkok pada 14 Dis bagi menuntut keadilan dan kesamarataan.

Thanathorn turut menghantar ciapan di Twitter bahawa kini masanya untuk rakyat "membuat bising".

Police berkata penganjur perhimpunan itu telah melanggar Akta Perhimpunan Awam termasuk gagal memberi notis kepada pihak berkuasa, gagal mengawal peserta perhimpunan dan menggunakan pembesar suara tanpa kebenaran.

Beberapa media melaporkan bahawa ia merupakan protes terbesar di Thailand selepas rampasan kuasa 2014.

Pada 11 Dis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand meminta Mahkamah Perlembagaan memansuhkan FFP berikutan Thanathorn telah melanggar Akta Parti Politik dengan memberi pinjaman 191 juta baht kepada parti.

Bulan lepas, kelayakan Thanathorn sebagai MP dibatalkan selepas mahkamah mendapati beliau telah melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau didapati bersalah melanggar Seksyen 98(3) Perlembagaan susulan masih menjadi pemegang saham dalam V-Luck Media Company semasa menjadi calon dalam pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac.

FFP menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya itu dan menjadi sebahagian blok pembangkang. Ketika ini FFP mempunyai 79 MP di Dewan rakyat, Parlimen.

-- BERNAMA