DUNIA

Polis Thailand guna ChatGPT jejak pesalah trafik sepantas tiga saat

Astro Awani 19/07/2025 | 11:10 MYT
Polis Thailand berjaya menahan suspek kes langgar lari di Udon Thani dengan bantuan teknologi AI ChatGPT yang mengenal pasti komponen kenderaan dalam masa tiga saat. -Gambar hiasan/AP
UDON THANI: Polis Thailand berjaya menahan seorang pemandu kes langgar lari yang mengorbankan dua nyawa selepas menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) ChatGPT untuk mengenal pasti komponen kenderaan suspek dalam tempoh kurang tiga saat.


Ringkasan AI
  • Polis Thailand berjaya menahan suspek kes langgar lari di Udon Thani dengan bantuan teknologi AI ChatGPT yang mengenal pasti komponen kenderaan dalam masa tiga saat.
  • Serpihan kenderaan dianalisis menggunakan AI, yang mengenal pasti ia milik Toyota Hilux Vigo Champ (20112015), membantu mengecilkan skop siasatan.
  • Kejayaan ini mendapat pujian ramai dan menunjukkan keberkesanan penggunaan teknologi AI dalam siasatan jenayah.


Menurut laporan Bangkok Post, insiden berlaku pada 6 Julai lalu di wilayah Udon Thani.

Suspek melarikan diri sejurus selepas kemalangan, namun pihak berkuasa menemui satu serpihan kecil kenderaan di lokasi kejadian.

Pegawai penyiasat memuat naik imej serpihan tersebut ke ChatGPT dan meminta AI mengenal pasti jenis dan model kenderaan.

Dalam masa tiga saat, AI mengenal pasti komponen itu sebagai “pengukuh atas bampar hadapan” dengan nombor siri 52113-0K140, milik model Toyota Hilux Vigo Champ tahun keluaran 2011–2015.

Maklumat tersebut membolehkan polis mengecilkan skop siasatan dan meneliti rakaman CCTV di sekitar lokasi.

Hasilnya, suspek berjaya dikenal pasti dan ditahan.

Kejayaan ini dikongsi oleh salah seorang penyiasat melalui hantaran di Facebook pada 8 Julai, yang kemudiannya tular dengan lebih 2,000 perkongsian.

Rata-rata warganet memuji pendekatan kreatif dan efektif pihak berkuasa dalam menggunakan teknologi AI untuk menyelesaikan siasatan jenayah.






#ChatGPT #polis thailand #suspek kes langgar lari #Udon Thani #kecerdasan buatan