BANGKOK: Polis Diraja Thailand mengatur gerak anggota bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam sempena Mesyuarat Tahunan IMF-Kumpulan Bank Dunia 2026 di Bangkok, ketika ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran lokasi acara itu pada Khamis.
Jurucakap Polis Diraja Thailand Mejar Jeneral Polis Siriwat Deepor berkata langkah itu diambil bagi memastikan perhimpunan berkenaan tidak mengganggu mesyuarat atau menyusahkan orang ramai.
“Kami menerima pengesahan daripada Biro Polis Metropolitan bahawa setakat ini tiada tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana penunjuk perasaan. Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi Akta Perhimpunan Awam,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC), lokasi mesyuarat berkenaan, bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang didakwa memihak kepada syarikat besar sehingga menjejaskan kepentingan rakyat biasa.
Demonstrasi yang diketuai kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai “People’s Network Against the World Bank-IMF” itu merancang untuk berkhemah semalaman di luar QSNCC sehingga petang Jumaat bagi memantau mesyuarat berkenaan serta mendapatkan ruang untuk menyuarakan kebimbangan mereka kepada IMF.
Siriwat berkata penunjuk perasaan tidak boleh menyusahkan orang ramai yang menggunakan ruang awam, membawa senjata atau objek menyerupai senjata ke kawasan protes, menceroboh atau merosakkan harta benda orang lain atau menghalang pegawai yang bertanggungjawab mengawasi perhimpunan awam dan memastikan orang ramai mendapat akses ke ruang awam.
Beliau berkata penunjuk perasaan juga perlu memastikan aktiviti mereka tidak menjejaskan langkah keselamatan bagi mesyuarat antarabangsa itu dan dilarang berarak atau memindahkan lokasi perhimpunan antara 6 petang hingga 6 pagi keesokan harinya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Beliau menggesa penunjuk perasaan berhimpun di kawasan yang ditetapkan pihak berkuasa sambil memaklumkan bahawa agensi berkaitan akan mendengar kebimbangan mereka dan bekerjasama bagi memastikan demonstrasi berlangsung secara aman tanpa menjejaskan hak dan kebebasan orang lain.
Siriwat berkata polis turut menetapkan prosedur yang jelas mengikut undang-undang serta pelan khusus bagi mengendalikan protes berkenaan.
Mengenai pengurusan lalu lintas, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelak Jalan Ratchadaphisek antara persimpangan Asok Montri di Jalan Sukhumvit dan persimpangan Rama IV dari 15 hingga 16 Okt.
Mesyuarat Tahunan yang berlangsung di QSNCC dari 12 hingga 18 Okt itu menarik kira-kira 15,000 peserta dari 191 negara termasuk menteri kewangan, gabenor bank pusat dan eksekutif institusi kewangan.
Minggu lepas, kerajaan Thailand mengumumkan bahawa penjawat awam yang bertugas di Bangkok akan bekerja dari rumah pada 12, 14 dan 15 Okt, manakala 16 Okt diisytiharkan sebagai cuti umum khas bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan urusan keselamatan untuk ribuan perwakilan antarabangsa.
-- BERNAMA