DUNIA

Polis Thailand tahan lelaki Malaysia tipu warga tempatan RM426,000

Bernama 09/11/2025 | 06:40 MYT
Penyiasat dari Don Mueang kini bekerjasama dengan polis Thung Khru bagi memperluas siasatan dan menjejaki anggota lain sindiket penipuan itu. - Gambar/ Bernama
BANGKOK: Polis Diraja Thailand menahan seorang lelaki warganegara Malaysia pada Jumaat selepas disyaki menyamar sebagai pegawai kerajaan untuk menipu mangsa dan memperoleh wang tunai melebihi 3.3 juta baht (kira-kira RM426,000).

Ketua Bahagian Polis Metropolitan 2, Mej Jen Kiattikul Sonthanan, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan di daerah Don Mueang, Bangkok, berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Thonburi pada 7 Nov atas kesalahan penipuan dengan menyamar sebagai individu lain.

Beliau berkata suspek yang dikenali sebagai Tan dari Sabah itu ditahan di sebuah hotel di Soi Saranakhom 3, Don Mueang.

"Polis turut merampas pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian, sebuah beg galas hitam, dua telefon bimbit, satu sampul kad SIM AIS kosong, empat kad SIM Singapura yang belum digunakan, satu kad SIM kosong dan tiga kad debit asing," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Sabtu.

Penahanan itu dibuat susulan laporan oleh seorang mangsa berusia 70 tahun yang mendakwa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai polis dari Balai Polis Mueang Khon Kaen.

Individu terbabit mendakwa akaun bank mangsa terpalit dalam kegiatan keldai akaun dan pengubahan wang haram.

Suspek kemudian menghantar mesej, dokumen palsu serta membuat panggilan video bagi membincangkan aset mangsa, sebelum mengarahkan mangsa menyediakan wang dan barangan berharga untuk "pemeriksaan."

"Mangsa yang terpedaya, bertindak mengeluarkan wang tunai, menjual barangan peribadi dan menyerahkan sejumlah 3.3 juta baht kepada suspek," katanya.

Kiattikul berkata mangsa hanya membuat laporan polis selepas menyedari wang berkenaan tidak dipulangkan seperti dijanjikan.

Penyiasat dari Don Mueang kini bekerjasama dengan polis Thung Khru bagi memperluas siasatan dan menjejaki anggota lain sindiket penipuan itu, kata beliau.

-- BERNAMA


#Thailand #kes penipuan #rakyat Malaysia #polis thailand