LONDON: Polis di United Kingdom telah membuka semula siasatan kes salah laku seksual membabitkan pempengaruh Andrew Tate selepas pasukan penyiasat pasukan itu disiasat berhubung cara mereka mengendalikan dakwaan kes berkenaan.
Hertfordshire Constabulary membuat keputusan untuk menyiasat semula dakwaan rogol dan serangan seksual yang dilaporkan kepada pasukan itu antara 2014 hingga 2015.
Advertisement
Keputusan itu dibuat sehari selepas Pejabat Bebas untuk Tata Kelakuan Polis (IOPC) menyatakan bahawa seorang bekas detektif berpangkat konstabel berkemungkinan berdepan prosiding salah laku berat kerana “didakwa gagal menjalankan siasatan dengan sewajarnya,” lapor PA Media/dpa.
Pasukan polis itu dalam satu kenyataan berkata: “Kami komited untuk melakukan perkara yang betul dan memastikan dakwaan yang begitu serius disiasat dengan betul, teliti dan menyeluruh, tanpa mengira berapa lama ia telah berlaku.”
Tiga wanita membuat dakwaan terhadap Tate kepada pihak polis, namun kes itu ditutup pada 2019 selepas siasatan selama empat tahun.
Dalam satu kenyataan bersama, tiga wanita yang didakwa mangsa berkata: “Sudah terlalu lama untuk Hertfordshire Constabulary membuka semula siasatan terhadap dakwaan kami mengenai rogol, penderaan seksual dan serangan oleh Andrew Tate.”
“Kami tidak pernah berhenti mencari keadilan susulan apa yang kami percaya sebagai kegagalan pihak polis untuk menyiasat dengan sewajarnya apa yang berlaku antara 2013 hingga 2015.”
Pada September tahun lepas, CPS menyatakan bahawa syarat undang-undang untuk membawa pertuduhan jenayah tidak dipenuhi.
Tiga wanita itu membawa tuntutan mereka terhadap Tate ke Mahkamah Tinggi bersama seorang wanita keempat iaitu dakwaan yang dinafikan “secara tegas” oleh bekas atlet kick-boxing profesional itu.
Perbicaraan sivil dijadualkan berlangsung pada Jun tahun ini.
Dokumen mahkamah menunjukkan Tate dituduh mengacukan pistol ke muka seorang wanita sambil berkata “kamu akan ikut arahan saya atau menerima padah,” manakala seorang lagi wanita mendakwa Tate menyerangnya dengan tali pinggang dan mencekiknya beberapa kali.
Peguam Tate sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dengan menyatakan ia adalah “tidak benar” dan bahawa kesemua wanita berkenaan “tidak dikawal dan tidak berkelakuan seolah-olah mereka dikawal” olehnya.
Tate juga berdepan prosiding undang-undang di Romania bersama adiknya, Tristan Tate, di mana kedua-duanya menafikan sebarang salah laku.
Mereka dijangka akan diekstradisi ke UK selepas prosiding di Romania selesai, selepas Polis Bedfordshire memperoleh waran tangkap Eropah berhubung dakwaan berasingan melibatkan rogol dan pemerdagangan manusia terhadap wanita lain.
Dakwaan itu yang “dinafikan sepenuhnya” oleh kedua-dua beradik itu, adalah berkaitan tempoh antara 2012 hingga 2015.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa