INTERNATIONAL
Polis UK tahan lelaki sengaja bakar hartanah berkaitan PM Starmer

Polis Britain menahan seorang lelaki berusia 21 tahun atas tuduhan melakukan perbuatan membakar dengan niat membahayakan nyawa ekoran beberapa kebakaran mencurigakan di hartanah berkaitan dengan Perdana Menteri Keir Starmer. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Polis Britain menahan seorang lelaki berusia 21 tahun atas tuduhan melakukan perbuatan membakar dengan niat membahayakan nyawa ekoran beberapa kebakaran mencurigakan di hartanah berkaitan dengan Perdana Menteri Keir Starmer, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik kenyataan Polis Metropolitan (Met) pada Selasa.
Suspek ditahan pada awal pagi Selasa dan masih dalam tahanan, sementara siasatan diteruskan, menurut kenyataan Met.
Penahanan dibuat selepas tiga kejadian berasingan dilaporkan di utara London dengan yang terbaru berlaku pada Isnin, apabila Pasukan Bomba London memberi amaran kepada polis mengenai kebakaran di sebuah hartanah kediaman di Kentish Town, NW5, sebuah kediaman persendirian yang mempunyai kaitan dengan Starmer.
Perkhidmatan kecemasan mengambil tindakan pada 1.35 pagi (0035GMT). Pintu masuk hartanah itu rosak, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.Menurut polis, Bahagian Antikeganasan Met kini mengetuai siasatan "sebagai langkah berjaga-jaga dan kerana hartanah itu mempunyai kaitan dengan seorang tokoh awam terkenal sebelumnya."
Pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada dua kejadian awal, kebakaran sebuah kereta pada 8 Mei di kawasan NW5 dan kebakaran di pintu masuk hartanah lain di Islington (N7) pada 11 Mei, ada kaitan dengan kebakaran di Kentish Town. Alamat kedua juga diketahui mempunyai hubungan dengan perdana menteri.
"Ketiga-tiga kebakaran ini dianggap sebagai mencurigakan pada masa ini," menurut Met, sambil menjelaskan yang siasatan masih berjalan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami