Ringkasan AI
- Vatican mengeluarkan gambar pertama Pope Leo XIV selepas pembedahan paru-paru dan disahkan menghidap kanser paru-paru awal minggu ini.
- Pope Leo, 71, memimpin misa bersama kakitangan perubatan di Hospital Gemelli, Rom, serta menzahirkan penghargaan atas khidmat mereka.
- Pasukan perubatan mengesahkan keadaan Pope Leo bertambah baik selepas pembedahan membuang lobus bawah paru-paru kanannya akibat adenokarsinoma.
VATICAN CITY: Vatican pada Jumaat mengeluarkan gambar pertama Pope Leo XIV sejak beliau menjalani pembedahan paru-paru awal minggu ini dan disahkan menghidap kanser paru-paru.
Gambar yang dikongsi menunjukkan Pope Leo, 71, mengenakan jubah hijau ketika memimpin misa di sebuah altar sementara di tingkat 10 Hospital Gemelli di Rom.
Menurut pejabat akhbar Vatican, Pope Leo meraikan misa bersama kakitangan perubatan dan jururawat yang merawatnya serta menzahirkan penghargaan atas khidmat mereka.
Pope Leo menjalani pembedahan pada Selasa bagi membuang bahagian bawah paru-paru kanannya selepas doktor menemui nodul pada organ berkenaan semasa pemeriksaan.
Vatican sebelum ini memaklumkan pembedahan itu berjaya dilakukan tanpa sebarang komplikasi.
Dalam perkembangan terbaru, pasukan perubatan berkata ujian yang dijalankan menunjukkan keadaan kesihatan Pope Leo terus bertambah baik sejak menjalani prosedur berkenaan.
Menurut doktor, pemeriksaan sinar-X dada menunjukkan paru-paru yang dibedah pulih dengan baik.
Vatican berkata keseluruhan lobus bawah paru-paru kanan Pope Leo dibuang bagi memastikan prosedur itu dilakukan secara menyeluruh.
Sejurus selepas pembedahan, beliau dilaporkan sedar seperti biasa sebelum kembali ke biliknya selepas tempoh pemantauan singkat, dan seterusnya melalui malam yang tenang di hospital.
Sebelum menjalani pembedahan, Pope Leo mengumumkan perkara itu semasa doa mingguan Ahad di Dataran St Peter, dengan memaklumkan bahawa doktor menemui nodul yang masih berada pada peringkat awal dan menasihatkan supaya ia dibuang.
Walaupun nodul paru-paru lazimnya tidak semestinya bersifat kanser, pemeriksaan lanjut mengesahkan ia adalah kanser seperti yang disyaki menerusi ujian pra-pembedahan.
Vatican berkata Pope Leo disahkan menghidap adenokarsinoma paru-paru, sejenis kanser yang berasal daripada sel kelenjar dalam tisu paru-paru.
Menurut Vatican, Pope Leo tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan atau penyakit sebelum menjalani pembedahan tersebut.