Skip to main content

Dunia

Pope Leo disahkan hidap kanser paru-paru, sebahagian paru-paru kanan dibuang

Pope Leo tiba di Hospital Gemelli sebelum menjalani pembedahan bagi membuang nodul pada paru-parunya, di Rom, Itali. - Foto REUTERS
Pope Leo tiba di Hospital Gemelli sebelum menjalani pembedahan bagi membuang nodul pada paru-parunya, di Rom, Itali. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Pope Leo disahkan menghidap kanser paru-paru selepas pembedahan membuang sebahagian paru-paru kanannya di Hospital Gemelli, Rom.
  • Pembedahan selama 90 minit itu berjaya tanpa komplikasi, namun tahap sebenar kanser masih belum dapat dipastikan kerana maklumat lanjut belum diumumkan.
  • Pope Leo kini berehat di hospital dan semua acara awam beliau sehingga 20 Oktober dibatalkan bagi tempoh pemulihan.

ROM: Pope Leo disahkan menghidap kanser paru-paru selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian paru-paru kanannya di sebuah hospital di Rom, menurut kenyataan pihak Vatican.

Pemimpin Gereja Katolik berusia 71 tahun itu didiagnosis menghidap adenokarsinoma, iaitu antara bentuk kanser paru-paru yang paling lazim, selepas ujian tisu yang dijalankan semasa pembedahan mengesahkan syak wasangka doktor hasil pemeriksaan awal.

Menurut buletin perubatan Vatican, Pope Leo dimasukkan ke Hospital Gemelli pada Selasa bagi menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan yang dikesan semasa pemeriksaan kesihatan baru-baru ini.

Vatican sebelum itu memaklumkan pembedahan berkenaan berjaya dilakukan sebelum mengeluarkan kemas kini terperinci daripada ketua pakar bedah, Dr Stefano Margaritora, dan doktor peribadi paus, Dr Luigi Carbone.

"Untuk memastikan prosedur itu bersifat kuratif, lobus bawah paru-paru kanan telah dibuang menggunakan teknik bantuan video," menurut kenyataan berkenaan, yang menjelaskan matlamat utama pembedahan adalah untuk menghapuskan keseluruhan tisu kanser.

Paru-paru manusia mempunyai lima lobus, dengan tiga terletak di paru-paru kanan dan dua di paru-paru kiri.

Bagaimanapun, pakar perubatan berkata tahap sebenar kanser yang dihidapi Pope Leo masih belum dapat dipastikan kerana maklumat mengenai saiz ketumbuhan yang dibuang serta sama ada penyakit itu telah merebak ke nodus limfa belum diumumkan.

Pakar kanser paru-paru dari Universiti Georgetown di Washington, Dr Stephen Liu, berkata tahap penyakit adalah faktor penting dalam menentukan prognosis dan rawatan lanjut.

"Jika kanser itu masih kecil dan belum melibatkan nodus limfa, pembedahan sahaja berkemungkinan besar mencukupi untuk menyembuhkan pesakit. Namun, jika analisis lanjut menunjukkan penyebaran yang lebih meluas, prognosis menjadi kurang baik," katanya.

Pembedahan yang berlangsung kira-kira 90 minit itu dilaporkan berjaya tanpa sebarang komplikasi. Vatican memaklumkan Pope Leo telah sedar seperti biasa selepas pembedahan dan kini berehat di bilik hospitalnya.

Beliau meninggalkan Vatican sebelum tengah hari waktu tempatan dan dilihat melambai dari kenderaan rasmi ketika menuju ke Hospital Gemelli yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari Vatican.

Setibanya di hospital, beliau dilaporkan berjabat tangan dengan beberapa pegawai serta menyapa orang ramai yang berkumpul bagi memberikan sokongan dan ucapan selamat.

Vatican sebelum ini menjangkakan beliau memerlukan tempoh pemulihan sekitar seminggu di hospital. Semua acara awam paus sehingga 20 Oktober turut dibatalkan.

Pope Leo, yang dipilih sebagai ketua Gereja Katolik pada Mei 2025, dianggap masih muda bagi seorang pemimpin gereja. Beliau dikenali sebagai individu aktif yang gemar bersukan, termasuk bermain tenis, dan tidak diketahui mempunyai sejarah merokok atau masalah kesihatan serius sebelum ini.

Beliau dijadual mengadakan lawatan selama 11 hari ke Uruguay, Argentina dan Peru bermula 6 November depan, namun belum dapat dipastikan sama ada perjalanan itu akan diteruskan.

Dilahirkan di Chicago pada 1955 dengan nama Robert Prevost, beliau pernah berkhidmat selama beberapa dekad sebagai mubaligh dan uskup di Peru sebelum dipilih menjadi paus.

Pada 1985, ketika masih bergelar paderi muda, beliau pernah dimasukkan ke hospital akibat demam kepialu di Chulucanas, Peru.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan dalam sebuah buku di Peru, beliau mengakui kesakitan yang dialami ketika itu begitu teruk sehingga menyebabkan beliau berdoa agar Tuhan menamatkan penderitaannya.

Namun, beliau menganggap kelangsungan hidupnya sebagai petunjuk bahawa dirinya masih mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan di dunia ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement