Skip to main content

Dunia

Pope Leo pulih seperti dijangka selepas pembedahan paru-paru

Pope Leo dijangka terus dirawat di hospital selama kira-kira seminggu sebelum dibenarkan pulang. - Foto fail/REUTERS
Pope Leo dijangka terus dirawat di hospital selama kira-kira seminggu sebelum dibenarkan pulang. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

VATICAN CITY: Keadaan Pope Leo XIV dilaporkan semakin baik dan pulih seperti dijangka selepas menjalani pembedahan membuang bahagian bawah paru-paru kanannya yang disahkan menghidap kanser paru-paru.

Vatican memaklumkan pembedahan selama kira-kira 90 minit di Hospital Gemelli, Rom pada Selasa berjaya dilaksanakan tanpa sebarang komplikasi.

Menurut pasukan perubatan, pontif berusia 71 tahun itu sudah mula berjalan, kembali mengambil makanan seperti biasa dan menjalani fisioterapi pernafasan sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.

Ujian darah serta imbasan sinar-X yang dijalankan pada Rabu turut menunjukkan keadaan kesihatannya berkembang dengan baik.

Vatican berkata keseluruhan lobus bawah paru-paru kanan Pope Leo dibuang bagi memastikan prosedur rawatan dilakukan secara menyeluruh.

Beliau dijangka terus dirawat di hospital selama kira-kira seminggu sebelum dibenarkan pulang.

Pope Leo sebelum ini mengumumkan akan menjalani pembedahan selepas doktor menemui nodul pada paru-parunya pada peringkat awal.

Pemeriksaan lanjut mengesahkan nodul berkenaan ialah adenokarsinoma paru-paru, antara jenis kanser paru-paru yang paling biasa berlaku.

Vatican menegaskan Pope Leo yang secara umumnya berada dalam keadaan sihat tidak menunjukkan gejala jangkitan atau penyakit sebelum diagnosis tersebut dibuat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement