Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

Pope Leo XIV: Perubahan iklim bergerak 'lebih pantas daripada kemahuan politik'

Bernama 18/11/2025 | 21:00 MYT
Pope menegaskan bahawa Perjanjian Paris kekal sebagai pelan hala tuju paling jelas bagi menstabilkan iklim global, namun pelaksanaannya telah dilemahkan oleh keputusan kerajaan. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Pope Leo XIV pada Isnin memberi amaran bahawa krisis iklim sedang bergerak "lebih pantas daripada kemahuan politik", sambil menggesa pemimpin dunia di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (COP30) di Brazil supaya mengambil tindakan konkrit sebelum peluang terakhir dunia untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius hilang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam mesej video kepada para uskup dan kardinal dari Selatan Global yang berhimpun di Belem, Pope berkata planet ini sedang menghantar isyarat segera melalui "banjir, kemarau, ribut dan gelombang haba berterusan", sementara jutaan orang kekal terdedah kepada risiko iklim yang teruk.

"Seorang daripada tiga orang hidup dalam keadaan amat terdedah akibat perubahan iklim ini," katanya, menurut Vatican News.

Pope menegaskan bahawa Perjanjian Paris kekal sebagai pelan hala tuju paling jelas bagi menstabilkan iklim global, namun pelaksanaannya telah dilemahkan oleh keputusan kerajaan, bukan oleh kelemahan dalam perjanjian itu.

Beliau menyeru "solidariti global yang tidak berbelah bahagi" bagi menyokong perjanjian berkenaan dan menggesa negara-negara meningkatkan kerjasama iklim serta bantuan kepada wilayah rentan, khususnya di Selatan Global.

Beliau turut menggesa pemimpin untuk mengutamakan kerjasama berbanding perpecahan dan memberi amaran agar tidak menganggap alam semula jadi sebagai sumber kepentingan yang bersaing.

-- BERNAMA






#Pope Leo #perubahan iklim #COP30 #Perjanjian Paris