WASHINGTON: Kajian terbaharu yang diterbitkan sebuah jurnal di Amerika Syarikat mendapati bilangan semut yang wujud di muka bumi dianggarkan berjumlah 20 kuadrilion, satu angka yang mengejutkan.

Memetik laporan AFP,  jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS) berpandangan pengiraan populasi semut itu adalah penting terutamanya untuk mengukur kesan perubahan habitat serangga itu termasuk yang berpunca dari perubahan iklim.

Kehadiran populasi semut juga memainkan peranan penting, menyebarkan benih, menjadi perumah organisma dan berperanan sama ada sebagai pemangsa atau mangsa.

Sebelum ini, beberapa kajian pernah dijalankan menganggarkan populasi semut di seluruh dunia tetapi menghasilkan jumlah lebih kecil.

Menurut jurnal PNAS itu lagi, penyelidik melakukan sebanyak 465 kajian mengira bilangan semut di seluruh dunia.

Kajian dijalankan menggunakan dua teknik iaitu dengan memasang perangkap menangkap semut yang lalu lalang dalam tempoh masa tertentu atau mengira bilangan semut pada tompokan daun tertentu di atas tanah.

Sementara itu, kajian dijalankan di seluruh benua kecuali Afrika Tengah dan Asia, menghasilkan data populasi semut dalam skala lebih kecil.

Pada masa ini, lebih daripada 15,700 spesies dan subspesies semut telah dinamakan dan bermungkinan bilangan yang sama juga yang masih belum dikategorikan.

Dalam pada itu, penyelidik merancang untuk mengkaji faktor persekitaran yang mempengaruhi jumlah populasi makhluk kecil itu di masa akan datang.